Agong berkenan terima menghadap perpisahan dua duta besar asing
Bernama
Oktober 19, 2022 16:01 MYT
Oktober 19, 2022 16:01 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis menghadap perpisahan dua duta besar asing ke Malaysia di Istana Negara, di sini.
Al-Sultan Abdullah berkenan menerima kunjungan hormat Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan dan Duta Besar Qatar ke Malaysia Fahad Mohammed Kafoud dalam dua sesi menghadap yang berlangsung secara berasingan.
Majlis menghadap perpisahan itu diadakan susulan kedua-dua duta besar berkenaan akan menamatkan perkhidmatan mereka di Malaysia pada tahun ini.
Mahmoud Hussein mula bertugas di Malaysia pada April 2017 dan akan berakhir pada 21 Okt ini, manakala Fahad Mohammed akan menamatkan penempatannya pada 4 Nov ini sejak mula berkhidmat di negara ini pada November 2018.
Sesi menghadap itu bermula pada 11 pagi, dengan Al-Sultan Abdullah berkenan menerima kunjungan hormat yang pertama daripada Mahmoud Hussein dan kemudian sesi menghadap daripada Fahad Mohammed.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata dalam kedua-dua majlis menghadap perpisahan itu, Seri Paduka menzahirkan penghargaan kepada kedua-dua duta besar atas peranan mereka dalam memperkukuh dan mempertingkatkan hubungan serta kerjasama dua hala antara negara masing-masing dengan Malaysia ke tahap lebih komprehensif.
"Seri Paduka menzahirkan kedua-dua negara itu adalah sahabat yang penting dan akrab dengan Malaysia malah turut menzahirkan suka cita dengan jalinan hubungan diplomatik serta dua hala yang kukuh di pelbagai peringkat khususnya daripada aspek ekonomi," katanya menerusi kenyataan.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong
#Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia
#Duta Besar Qatar ke Malaysia
#Istana Negara