Agong berkenan terima menghadap pengerusi jawatankuasa tetap NPC China
Bernama
Mei 19, 2023 16:15 MYT
Mei 19, 2023 16:15 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China ke-14, Zhao Leji dan delegasinya di Istana Negara di sini.
Zhao, yang mengetuai delegasi lapan anggota, tiba pada pukul 3 petang dan meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu Yang di-Pertuan Agong.
Anggota delegasi termasuk Naib Menteri Luar China Deng Li, Setiausaha Agung Jawatankuasa Tetap NPC Liu Qi, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Kewangan dan Ekonomi NPC Zhong Shan dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Hadir sama Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Speaker Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul dan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Datuk Norman Muhamad.
Zhao, yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Malaysia sehingga Sabtu, melawat Johari di Parlimen, semalam dan akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Malaysia adalah persinggahan terakhir Zhao dalam lawatan tiga negara selepas Morroco dan Senegal.
-- BERNAMA