Agong berkenan terima menghadap Muhyiddin untuk mesyuarat Pra-Kabinet
Bernama
Jun 10, 2020 11:18 MYT
Jun 10, 2020 11:18 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata sesi berkenaan yang berlangsung selama satu jam 15 minit dari pukul 8.30 pagi, kembali diadakan secara bersemuka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang berkuat kuasa hari ini.
Menurut beliau, kali pertama mesyuarat bersemuka sedemikian diadakan adalah pada 18 Mac lepas di Istana Melawati, Putrajaya.
Ia kemudian diteruskan menerusi sidang video untuk sesi berikutnya pada 15 April lepas selepas Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga menjalani kuarantin diri selama 14 hari berikutan beberapa kes positif COVID-19 melibatkan para pegawai Istana Negara.
“Sesi-sesi berikutnya turut berlangsung menerusi sidang video berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan sesi kali terakhir menerusi sidang video diadakan minggu lepas, pada 4 Jun 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ahmad Fadil berkata mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama rdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.
Sesi Pra-Kabinet dengan Agong itu merupakan yang paling lama berlangsung berbanding sesi-sesi sebelum ini.
-- BERNAMA
#Agong
#Ahmad Fadil Shamsuddin
#COVID-19
#Facebook
#Istana Negara
#kabinet
#kes positif
#koronavirus
#mesyuarat
#mesyuarat Pra-Kabinet
#Muhyiddin Yassin
#perintah kawalan pergerakan
#PKPP
#sidang video
#Yang di-Pertuan Agong