Agong berkenan solat Jumaat di Masjid Raja Lumu
Bernama
Disember 15, 2023 15:27 MYT
Disember 15, 2023 15:27 MYT
KUALA SELANGOR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Lumu, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah pada pukul 12.54 tengah hari di masjid tersebut disambut Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Khutbah Jumaat bertajuk 'Raja Berdaulat, Menjunjung Kasih Titah Ditaat' disampaikan Imam Besar Masjid Negeri Muhammad Farhan Wijaya manakala Imam Abdul Karim Omar mengimamkam solat Jumaat yang disertai lebih 700 jemaah.
Muhammad Farhan dalam khutbahnya mengajak jemaah menjadi rakyat yang patuh dan menjunjung kasih Seri Paduka serta menumpahkan taat setia kepada baginda sebagai pemimpin atau 'ulil amri' kerana ia juga termasuk dalam satu daripada perintah agama.
Menurut khutbah berkenaan, ia merupakan tanggungjawab dan kewajipan yang saling melengkapi antara satu sama lain serta akan membuahkan natijah yang menyeluruh kepada semua.
Selesai solat Jumaat, Seri Paduka berkenan meluangkan masa bersalaman bersama jemaah yang hadir.
Masjid Raja Lumu di Bukit Melawati dahulunya dikenali Masjid Pekan Lama Kuala Selangor merupakan Masjid Diraja yang kesembilan di negeri ini, yang dinaik taraf pada 2019 sebelum dirasmikan pada 6 Okt 2022 oleh Sultan Selangor.
Masjid Raja Lumu dipilih bersempena nama Raja Lumu yang merupakan Sultan Selangor pertama, dikenali sebagai Sultan Salehuddin Shah yang memerintah dari tahun 1766 hingga 1782.
-- BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#Sultan Sharafuddin Idris Shah
#Yang di-Pertuan Agong
#Solat Jumaat
#Masjid Raja Lumu