Agong berkenan sempurna majlis pecah tanah tapak surau IPD Cameron Highlands

Bernama
Mac 4, 2023 10:48 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan melakukan gimik Pecah Tanah Tapak Surau Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands di Brinchang hari ini. - Foto BERNAMA
CAMERON HIGHLANDS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah tapak surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands di Brinchang.
Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Md Nor dan Pengarah Eksekutif LBS Datuk Seri Daniel Lim Hock Sing.
Surau yang bakal menjadi mercu tanda baharu Cameron Highlands itu akan dibina di atas tanah seluas seekar dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2024.
Berkeluasan 6,016 kaki persegi, surau itu mampu memuatkan 200 jemaah pada satu-satu masa dan bakal memberi manfaat kepada kakitangan IPD Cameron Highlands serta masyarakat setempat.
Antara kemudahan yang disediakan ialah bilik audio, bilik imam, tandas, kolah wuduk, bilik mesyuarat, bilik jenazah, ruang makan dan parkir.
Pembinaan surau itu bakal menelan belanja hampir RM5 juta hasil sumbangan LBS Bina Group Berhad sebagai tanggungjawab sosial korporat syarikat pemaju hartanah berkenaan.
Sementara itu, Razarudin dalam ucapan mewakili pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia menzahirkan ucapan terima kasih atas usaha dan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dan syarikat pemaju yang bakal menjayakan pembinaan surau berkenaan.
"Sesungguhnya pembinaan rumah ibadat ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan warga pasukan terutama yang beragama Islam.
"Surau ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada warga pasukan menunaikan tuntutan ibadah malah sebagai pusat tarbiah dan penyebaran syiar Islam bagi pembangunan ummah serta keseluruhannya," kata beliau.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #IPD Cameron Highlands #Brinchang #Majlis Pecah Tanah