Agong berkenan santuni mangsa ribut, kurnia sumbangan kepada asnaf

Bernama
Oktober 8, 2023 15:48 MYT
Yang di-Pertuan Agong menyantuni penduduk kampung selepas meninjau kerja baik pulih rumah mangsa ribut milik pasangan suami isteri, Mohd Zaki Embong dan Nor Hayati Ismaildi Kampung Rantau Panjang di Rompin hari ini. - Foto Bernama
ROMPIN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyantuni dan meninjau kerja baik pulih rumah seorang mangsa ribut di Kampung Rantau Panjang di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah yang diiringi Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah berangkat tiba di rumah Mohd Zaki Embong, 70, pada 12.15 tengah hari, turut berkenan menyantuni penduduk kampung yang menunggu sejak pagi untuk bersua dengan Seri Paduka.
Mohd Zaki semasa ditemui menjunjung kasih kepada keprihatinan Seri Paduka mencemar duli ke rumahnya yang kini dalam proses baik pulih selepas bumbung di ruang tamu dan beranda diterbangkan ribut pada 5 petang, 2 Okt lepas.
Isterinya Nor Hayati Ismail, 57, yang merupakan pekerja am di sebuah institusi pendidikan berkata kejadian berlaku semasa dia baru tiba di rumah dari tempat kerja, yang terletak kira-kira 15 kilometer dari kediamannya.
"Semasa hendak mula menunggang motosikal, saya lihat langit begitu gelap dan tertanya juga jika saya sempat tiba sebelum hujan. Tak sangka rupanya ribut yang berlaku. Saya lihat atap sudah tiada dan bahagian dalam rumah sudah dinaiki air," katanya.
Nor Hayati berkata walaupun mengalami kerugian, beliau bersyukur kerana tiada ahli keluarganya cedera terutamanya anak bongsunya Ahmad Sufian, 26, yang semasa kejadian berada di rumah kerana tidak sihat.
Wakil Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menurut Nor Hayati, telah menghubunginya bagi memberikan sumbangan termasuk menampung kos baik pulih, selain turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Saya bersyukur kerana mulanya buntu juga memikirkan kos membaiki bumbung. Memang dipermudahkan dan lebih terharu, bila saya diberitahu Seri Paduka berkenan nak datang lihat sendiri kerosakan rumah saya," katanya yang sudah 30 tahun menetap di situ.
Nor Hayati berkata kerja baik pulih bermula Jumaat lepas dan buat sementara, mereka sekeluarga menumpang di rumah ibunya yang terletak di belakang rumahnya.
Pada kunjungan ke Rompin, Al-Sultan Abdullah juga berkenan mencemar duli mengurniakan sumbangan kepada 143 penerima yang antaranya terdiri daripada asnaf, ibu tunggal dan saudara baharu dari enam kampung pada majlis ringkas di Dewan Serbaguna Leban Chondong di sini.
Seorang penerima Mazlan Abu, 65, dari Kampung Rantau Panjang di sini, berterima kasih kepada sumbangan itu yang disifatkan sangat besar ertinya selepas tidak dapat bekerja kerana masalah kesihatan.
"Saya tidak berkahwin dan hidup dengan bantuan daripada anak saudara yang tinggal berhampiran. Bila dapat sumbangan ini, harap dapatlah ringankan sedikit beban anak saudara," katanya yang sebelum ini bekerja sebagai buruh.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #mangsa ribut #Rompin #MUIO
;