Agong berkenan saksikan Latihan Kuasa Tembakan 2023

Bernama
Julai 18, 2023 15:57 MYT
Al-Sultan Abdullah diiringi anakanda Tengku Hassanal berkenan bergambar bersama pegawai tertinggi ATM selepas menyaksikan pertunjukan Latihan Kuasa Tembakan 2023 di Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin hari ini. - Gambar/ Bernama
GEMAS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2023 di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, di sini.
Al-Sultan Abdullah diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Sebanyak 40 unit melibatkan 2,660 pegawai dan anggota terbabit dalam latihan itu, bersama 106 aset dan persenjataan, termasuk Perisai Pendekar PT-91M, AV8 Gempita, Lipan Bara, Adnan dan pesawat Helicopter Super Lynx serta AS555 Fennec.
LKT itu antara lain bertujuan memperagakan keberkesanan sistem persenjataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain menguji pengurusan pasukan, keupayaan anggota dan memperagakan kompetensi anggota dalam melaksanakan latihan tembakan.
Terdahulu, Mohammad dalam ucapannya berkata latihan tahun ini bermatlamat untuk membangunkan tentera Malaysia menjadi sebuah angkatan yang mempunyai kesediaan optimum, memastikan kemantapan organisasi dan keupayaan untuk memanfaatkan rangkaian penuh keupayaan serta kuasa tempur untuk mempertahankan kedaulatan dan melindungi kepentingan negara.
"Usaha ini selaras dengan keperluan yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan, yang menekankan pembangunan progresif keupayaan pertahanan kita sebagai tindak balas kepada tuntutan keselamatan kontemporari.
"Tambahan pula, ia melengkapkan pelan strategik Kementerian Pertahanan, khususnya teras pertama, yang menggariskan kepentingan untuk dipersiapkan dan mampu mempertahankan negara dalam semua keadaan," kata Panglima Tentera Darat itu.
Dalam hal itu, Mohammad berkata latihan berkenaan telah disusun untuk meningkatkan kemahiran berperang dengan cekap dan berkesan selain menggambarkan senario taktikal yang melibatkan pengunaan gabungan bahagian senjata dalam operasi serangan sebagai sebahagian daripada persediaan bersama pasukan petugas.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #latihan kuasa tembakan #Angkatan Tentera Malaysia #Gemas
;