Agong berkenan saksi pemeteraian MoA Kemas, Yayasan Pahang
Bernama
November 7, 2023 19:00 MYT
November 7, 2023 19:00 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Yayasan Pahang, hari ini.
Pada majlis pemeteraian MoA itu, Kemas diwakili Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi manakala Yayasan Pahang diwakili Pengarahnya Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil.
Perjanjian antara Kemas dan Yayasan Pahang itu bagi melaksanakan program Tabika Pra-Tahfiz Kemas iaitu program di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperkasakan pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak.
Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas, Kampung Seri Batu di sini, disambut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang.
Menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lepas, Kerajaan Perpaduan memperuntukan RM20 juta bagi melaksanakan Program Pra-Tahfiz Kemas.
-- BERNAMA