Agong berkenan rasmi Kem Al-Sultan Abdullah Markas Angkatan Bersama
Bernama
Julai 26, 2022 15:29 MYT
Julai 26, 2022 15:29 MYT
KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli ke Majlis Perasmian dan Penamaan Kem Al-Sultan Abdullah Markas Angkatan Bersama di Jalan Panching, di sini.
Turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz.
Sejurus tiba, Seri Paduka menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Mohd Noorazmin Abd Rahim.
Al-Sultan Abdullah kemudiannya telah dipersembahkan dengan gimik acara pelancaran melibatkan gabungan aset dan aksi penerjunan anggota khas dari ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain itu, baginda turut dipersembahkan taklimat mengenai peranan serta fungsi Markas Angkatan Bersama (MK AB) bertempat di Pusat Operasi Bersama (POB) serta berinteraksi secara sidang video dengan pegawai dan anggota ATM yang sedang melaksanakan tugas Operasi Pasir di Sabah serta bertugas di misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kem Al-Sultan Abdullah yang dinamakan sempena nama baginda telah dirancang pembinaannya sejak 2007 dengan pemilihan di Jalan Panching, di sini susulan kedudukan kem dan pangkalan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara sedia ada di Kuantan sekali gus dapat menyokong pengoperasian MK AB.
Projek pembinaan kem seluas 39.56 hektar ini siap pada 25 April 2019 dan diserahkan kepada MK AB pada 11 Jun 2019 serta majlis pengoperasian telah dilaksanakan pada 1 Julai 2019.
Kem tersebut menempatkan lebih 300 pegawai dan anggota pelbagai peringkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam ATM.
MK AB diwujudkan untuk mengendalikan tugas berdasarkan kepada konsep penugasan bersama (Jointness), yang bersifat tiga khidmat (Tri-Service) di dalam ATM, selain berperanan untuk menyelaraskan keperluan dalam operasi dan misi di bawah PBB.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong
#Kem Al-Sultan Abdullah Markas Angkatan Bersama
#Wan Rosdy Wan Ismail
#Kuantan