Agong berkenan rasmi Hari Landskap Negara 2024
Bernama
Mei 25, 2024 14:30 MYT
Mei 25, 2024 14:30 MYT
SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2024 di Taman Tasik Shah Alam di sini.
Turut berangkat mengiringi baginda ke majlis itu anakanda Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan suami Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
Ketibaan Sultan Ibrahim pada 10 pagi disambut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Timbalannya Datuk Aiman Athirah Sabu dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Hadir sama Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Borhan Aman Shah, Exco Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Jamaliah Jamaluddin, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Haris Kasim dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Sementara itu, Nga dalam sembah alu-aluan berkata Jabatan Landskap Negara sedang giat memperkemaskan sistem jaringan landskap negara, mendaya upaya potensi dan nilai ekonomi industri itu, serta melindungi aset dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan landskap.
Beliau berkata ia selari dengan hasrat dizahirkan Seri Paduka Baginda semasa Titah Diraja pada Pembukaan Parlimen Penggal Ketiga agar kerajaan mengambil pendekatan proaktif dalam melaksanakan agenda pembaharuan untuk memperkukuh daya saing negara dengan mempunyai ekonomi yang mampan sejajar keperluan semasa.
"Sehubungan itu, Pelan Strategik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menetapkan hala tuju dan fokus untuk memperkasa industri landskap sebagai sumber ekonomi baharu.
"Kini, mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia industri landskap bernilai hampir RM30 billion dan ia memberikan sumbangan dua peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian HLN 2024 di Taman Tasik Shah Alam sini hari ini.
Nga berkata untuk itu, HLN 2024 yang bertemakan 'Industri Landskap Pemacu Pembangunan MADANI' menyatakan dengan jelas kepentingan dan potensi industri itu yang meliputi subsektor pembinaan khususnya perkhidmatan, pembuatan, pengeluaran bahan tanaman dan peruncitan produk landskap bagi tujuan perdagangan pasaran domestik serta eksport, sebagai antara sumber janaan ekonomi negara.
Pada majlis sama, KPKT turut mempersembahkan Laman Diraja dengan konsep 'Dirgahayu Naungan Tuanku' yang diterapkan gabungan elemen seni bina Melayu dengan nuansa Inggeris.
Mercu tanda Gazebo Diraja itu yang berada di tengah Taman Tasik Shah Alam dibina pada kedudukan yang tinggi bagi menggambarkan ketinggian dan keutuhan institusi diraja dalam menaungi rakyat.
HLN 2024 yang bermula semalam hingga 2 Jun ini menjadi platform kepada penggiat industri landskap untuk mempromosi dan memasarkan produk mereka.
-- BERNAMA