Agong berkenan hadiri majlis perasmian pesawat kargo A321 Teleport
Bernama
Julai 12, 2023 00:19 MYT
Julai 12, 2023 00:19 MYT
SEPANG: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menghadiri majlis perasmian pesawat kargo A321 milik Teleport di sini.
Ketibaan pesawat itu bakal mengukuhkan lagi kedudukan Teleport, cabang logistik Capital A Bhd sebagai penyedia logistik udara dan pemain industri kargo yang terkemuka di ASEAN.
Pada majlis itu, Seri Paduka menzahirkan ucapan tahniah kepada Capital A Bhd dan Teleport serta berharap perkhidmatan logistik mereka akan terus berkembang dan menguasai rantau Asia Tenggara.
"Pesawat kargo A321F milik Teleport telah menonjolkan keupayaan syarikat Malaysia sebagai jaguh di rantau ini dan yang lain harus mencontohi kejayaan mereka," titah Al-Sultan Abdullah.
Pesawat itu akan beroperasi dari Kuala Lumpur dengan fleksibiliti untuk ke pangkalan di Bangkok, Jakarta dan Manila.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Teleport Pete Chareonwongsak.
-- BERNAMA