Agong berkenan berangkat ke majlis Rumah Terbuka JPM

Bernama
Mei 8, 2024 15:37 MYT
Sultan Ibrahim diiringi Perdana Menteri semasa baginda berkenan berangkat menghadiri majlis Santapan Rumah Terbuka Madani Aidilfitri JPM hari ini. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Madani Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada 12.47 tengah hari disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa kira-kira sejam pada majlis itu.
Majlis yang bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 5,000 tetamu, terdiri daripada seluruh warga JPM dan agensi di bawahnya.
Antara menteri Kabinet yang hadir ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Sementara itu, JPM dalam kenyataan memaklumkan tujuan utama penganjuran majlis itu adalah untuk memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan muhibah antara warga JPM dengan barisan pengurusan pentadbiran.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #rumah terbuka Madani #Jabatan Perdana Menteri
;