Agong berkenan berangkat ke majlis penutup Desert Tiger Exercise di UAE
Bernama
Februari 27, 2023 23:13 MYT
Februari 27, 2023 23:13 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menghadiri Majlis Penutup Desert Tiger Exercise 6/2023 iaitu Program Latihan Ketenteraan Dua Hala Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Al Hamra FIBUA City di Wilayah Barat UAE.
Menurut hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.
Turut hadir, Presiden UAE yang juga pemerintah tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan.
Keberangkatan Seri Paduka selaku ketua pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia adalah atas persilaan Sheikh Mohammed, sahabat akrab yang juga rakan kolej Al-Sultan Abdullah di institusi latihan ketenteraan terkemuka dunia, Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom, pada 1978 dan 1979.
Program Latihan Ketenteraan Dua Hala Malaysia-UAE telah bermula pada 8 Feb 2023 atas tajaan kerajaan UAE dengan melibatkan 14 pegawai dan 116 anggota daripada Batalion Ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (PARA) serta lima pegawai dan 120 anggota daripada Batalion Ke-61 UAE Land Forces.
Hadir sama di majlis berkenaan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Seri Paduka kini berada di UAE bagi lawatan khas selama tujuh hari hingga 1 Mac.
Turut mengiring lawatan khas itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - BERNAMA