Agong berkenan adakan Lawatan Negara ke Brunei bermula Ahad

Bernama
Oktober 11, 2024 09:15 MYT
Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan mengadakan lawatan negara ke Brunei pada 13 hingga 15 Okt ini bagi memperkukuh lagi hubungan diraja antara Malaysia dan Brunei yang terjalin sejak 40 tahun lepas. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengadakan lawatan negara ke Brunei pada 13 hingga 15 Okt ini bagi memperkukuh lagi hubungan diraja antara Malaysia dan Brunei yang terjalin sejak 40 tahun lepas.
Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan bahawa lawatan Seri Paduka Baginda yang diiringi oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, bertujuan memartabatkan lagi rumpun, budaya, dan Kesultanan Melayu.
Turut berangkat mengiringi Seri Paduka Baginda berdua ialah Tunku Temenggong Johor. Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
"Hubungan akrab Malaysia dan Brunei juga terserlah apabila Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berangkat ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Julai lepas," menurut kenyataan itu.
Istana Negara memaklumkan sempena lawatan negara ini, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah dijadualkan berangkat ke Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap, serta Majlis Santapan Diraja di Istana Nurul Iman.
"Seri Paduka Baginda berdua turut dijadualkan berangkat ke Majlis Santapan Minum Petang bersama rakyat Malaysia di Brunei," menurut kenyataan itu.
Pada hari kedua, Raja Permaisuri Agong dijadualkan berangkat melawat Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Brunei merupakan negara ketiga yang dikunjungi Sultan Ibrahim untuk lawatan negara, selepas Singapura dan China sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.
Pada 19 Sept, Sultan Ibrahim berangkat ke China atas jemputan Presiden Xi Jinping, menjadikan lawatan tersebut sebagai lawatan negara pertama oleh Yang di-Pertuan Agong ke China dalam tempoh 10 tahun.
Lawatan ini juga menandakan detik penting bagi kedua-dua negara ketika mereka meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Pada 6 Mei, Seri Paduka Baginda mengadakan lawatan ke Singapura atas jemputan Presiden Tharman Shanmugaratnam. - BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #Raja Zarith Sofiah #Lawatan Negara
;