Agong beri amaran tarik balik darjah penerima yang cemar nama negara
Bernama
September 7, 2024 12:00 MYT
September 7, 2024 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini memberi amaran akan menarik balik Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada penerima yang terlibat dengan jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum oleh mahkamah.
Seri Paduka Baginda bertitah, setiap penerima yang telah dipilih seharusnya bersifat jujur dan amanah kepada pemerintah, menjaga tingkah laku dan tidak terlibat dalam kegiatan rasuah dan sebarang kesalahan jenayah.
"Sekiranya ada penerima yang mencemarkan nama negara atau melakukan jenayah dan telah dihukum oleh mahkamah, maka segala Darjah dan Pingat Kebesaran akan ditarik balik. Good bye to it.
"Sehubungan itu saya telah arahkan kerajaan untuk menyemak senarai banduan di semua penjara dan mana-mana banduan yang ada Darjah Kebesaran, maka ia akan ditarik balik. Hal ini hanyalah untuk Darjah Persekutuan dan Wilayah Persekutuan, darjah negeri-negeri lain saya tidak masuk campur," titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Turut berangkat pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara itu ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Seri Paduka Baginda bertitah setiap tahun banyak pihak menaruh harapan dan berusaha untuk mendapatkan darjah kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, malah ada juga yang terpedaya dan ditipu oleh ejen-ejen yang mengambil kesempatan.
Sultan Ibrahim mendedahkan, malah ada juga yang melobi Seri Paduka Baginda sendiri untuk mendapatkan darjah yang membawa gelaran "Tan Sri" atau "Datuk", namun perkara itu tidak dilayan sama sekali.
"Suka saya nyatakan di sini bahawa setiap pencalonan dibawa oleh kerajaan akan saya teliti satu persatu dan pertimbangan dibuat kepada calon yang betul-betul layak yang telah berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan, masyarakat dan negara," titah Sultan Ibrahim.
Sehubungan itu Seri Paduka Baginda bertitah hanya berkenan untuk mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada 116 penerima sahaja pada tahun ini.
Terdahulu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai 116 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024. Beliau dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.
-- BERNAMA