Agong beratur beli ayam goreng KFC di Temerloh

Astro Awani
Jun 21, 2019 16:39 MYT
Sultan Abdullah mengambil pesanan ayam goreng ketika mencemar duli mengujungi restoran makanan segera di Temerloh, Pahang pada Jumaat. - Gambar Instagram ISTANA NEGARA
Pernahkah anda membayangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli mengunjungi restoran makanan segera?
Barangkali, sebilangan besar daripada rakyat Malaysia tidak pernah terfikir baginda akan melakukannya.
Namun, hari ini, keberangkatan baginda di sebuah restoran makanan segera di Temerloh, Pahang mencuri perhatian ramai.
Baginda tanpa rasa kekok beratur bersama pelanggan lain memesan makanan di kaunter.
Rakaman foto baginda di restoran makanan segera itu dimuat naik di laman sosial Instagram Istana Negara.
BACA: Sisi berbeza: Raja Permaisuri Agong tunjuk teladan isteri mithali di Aidilfitri
Sultan Abdullah yang diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak serta pegawai pengiring serta memesan Ayam Goreng Kentucky.
Kapsyen yang dimuat naik di Instagram berkenaan itu memaklumkan, baginda menikmati ayam goreng itu sebaik selesai menunaikan solat Jumaat di bandar Temerloh.
Keberangkatan baginda ke restoran berkenaa tanpa protokol menarik perhatian pengunjung serta netizen.
Rata-rata netizen mengagumi dan memuji kesederhanaan baginda yang disifatkan sebagai raja berjiwa rakyat.
#Agong beratur beli ayam goreng KFC di Temerloh #Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Ayam Goreng Kentucky #KFC #Yang di-Pertuan Agong
;