Agong berangkat tiba di Jordan untuk lawatan khas
Bernama
Mei 31, 2023 11:57 MYT
Mei 31, 2023 11:57 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba di Amman, Jordan untuk lawatan khas selama empat hari.
Pesawat khas membawa Seri Paduka dan delegasi selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman pada 4.30 petang waktu tempatan, semalam (9.30 malam waktu Malaysia).
Keberangkatan tiba Seri Paduka disambut Menteri Pelancongan Jordan Makram Queisi, Datuk Bandar Amman Yousef Shawarbeh dan Duta Malaysia ke Jordan Mohamad Nasri Abd Rahman.
Dalam lawatan khas itu, Al-Sultan Abdullah turut diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka-paduka anakanda Seri Paduka, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.
Lawatan khas itu adalah atas persilaan Raja Jordan Raja Abdullah II dan kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan pertemuan di Beit Al Urdun pada 1.30 tengah hari waktu tempatan, hari ini.
Seri Paduka berdua dijadual berangkat menghadiri Majlis Perkahwinan Diraja Putera Mahkota Jordan Al Hussein bin Abdullah II di Zahran Palace esok, disusuli keberangkatan ke Majlis Jamuan Sambutan Perkahwinan Diraja di Al Husseinieh Palace di Amman pada sebelah malam.
Majlis Perkahwinan Diraja Putera Mahkota Jordan akan turut diserikan dengan kehadiran Kerabat-Kerabat Diraja, para pemimpin dan kenamaan dari seluruh dunia.
Seri Paduka berdua dijadual berangkat pulang ke tanah air Jumaat ini.
-- BERNAMA