Agong berangkat sempurnakan upacara penanaman pokok jujube

Bernama
Julai 27, 2020 17:26 MYT
Upacara itu adalah sebagai tanda simbolik hubungan erat dua hal antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). -Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat menyempurnakan upacara penanaman pokok jujube atau pokok bidara, sumbangan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan, di Dataran Utama Istana Negara hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, upacara itu adalah sebagai tanda simbolik hubungan erat dua hala, di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), serta keakraban antara Al-Sultan Abdullah dan Sheikh Mohamed, yang juga merupakan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE.
Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima sumbangan 12 pokok jujube atau pokok bidara (nama saintifiknya Ziziphus jujuba), daripada Sheikh Mohamed yang telah diterbangkan terus dari Abu Dhabi, UAE.
"Al-Sultan Abdullah amat menghargai sumbangan pokok-pokok tersebut, yang akan ditanam di persekitaran Istana Negara, Kuala Lumpur dan Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang, sebagai tanda keakraban Seri Paduka Baginda dengan Yang Mulia Sheikh Mohamed.
"Seri Paduka Baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Mulia Sheikh Mohamed dan kerajaan UAE, kerana sumbangan tersebut turut membuktikan hubungan erat dua hala di antara kedua-dua negara ,yang telah terjalin sekian lama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut hadir ke upacara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Duta UAE ke Malaysia Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith.
Keakraban Al-Sultan Abdullah dengan Sheikh Mohamed, terjalin sejak kedua-dua pemimpin itu bertemu lebih 40 tahun lalu, menjadi rakan sekolej pada 1978 dan 1979 di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom, dan persahabatan akrab itu kekal sehingga kini.
Ahmad Fadil berkata, Sheikh Mohamed telah menghadiri Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019, manakala Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan Lawatan Khas selama tiga hari pada Jun 2019 dan lawatan peribadi selama empat hari ke Abu Dhabi, pada November 2019.
"Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan, agar hubungan erat di antara Malaysia dan UAE dipertingkatkan dan diperkukuhkan lagi di dalam pelbagai bidang, dan menerusi inisitatif-inisiatif baharu demi kepentingan bersama," katanya.
Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan UAE, atas sumbangan lebih daripada tujuh tan bekalan perubatan terus kepada Wisma Putra, untuk diagihkan kepada rakyat Malaysia.
"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang Mulia Sheikh Mohamed dan kerajaan UAE, di atas kejayaan Kerajaan UAE melancarkan misi angkasa lepas pertama Asia Barat ke Marikh, digelar 'Hope' (Harapan), yang berlepas dari Jepun pada 20 Julai 2020," katanya.
Pada 2019, UAE merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan destinasi utama eksport serta import kedua terbesar (selepas Arab Saudi) bagi benua Asia Barat. Jumlah dagangan Malaysia dengan UAE adalah RM26.6 bilion (USD 6.42 bilion).
-- BERNAMA
#Kementerian Luar #Kuala Lumpur #Pahang #pokok bidara #rakyat Malaysia #UAE #Wisma Putra #Yang di-Pertuan Agong
;