Agong berangkat ke Majlis Pelepasan Kontinjen Eskpedisi Mardi Himal

Bernama
Ogos 4, 2023 14:28 MYT
Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Jalur Gemilang kepada Penyelaras Program Ekspedisi, Fazli Ahmad (kanan) pada Majlis Pelepasan Kontinjen ke Ekspedisi Simulasi Menyelamat di Altitud Tinggi @ Mardi Himal. -Bernama
KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pelepasan Kontinjen Ekspedisi Simulasi Menyelamat Di Altitud Tinggi @ Mardi Himal di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan, di sini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Seri Paduka dalam titah baginda menzahirkan perasaan bangga atas inisiatif semua pihak yang terlibat dalam menjayakan ekspedisi itu setelah menjalani latihan intensif.
Baginda bertitah menerusi misi yang turut diadakan sempena memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang itu, para pendaki memperoleh pengalaman berharga menyelamat di kawasan altitud tinggi untuk dipraktikkan pada masa hadapan.
"Saya berharap pengalaman ini akan dipraktikkan dan dibukukan supaya ia dapat dijadikan pengajaran dan digunakan oleh pendaki akan datang di negara ini.
"Pasukan ini kelak boleh juga menjadi pasukan menyelamat yang mewakili negara untuk membantu mereka yang bermasalah sekali gus dapat mengharumkan nama negara kita," titah baginda.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kepimpinan kerajaan negeri, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Timbalan Ketua Pengarah JBPM merangkap Ketua Ekspedisi Datuk Nor Hisham Mohammad.
Pada majlis itu, baginda berkenan mengurniakan barangan untuk ibadah seperti sejadah bagi kegunaan masyarakat Islam dan jemaah Masjid Mulling yang terletak di daerah Tanahu, wilayah Gandaki, Nepal.
Al-Sultan Abdullah turut menitahkan selamat berangkat dan pulang selain menasihatkan pendaki agar menjaga kesihatan dan keselamatan sepanjang ekspedisi.
Pendakian bagi menakluk kem pangkalan hadapan Mardi Himal, Nepal setinggi 4,500 meter itu akan mengambil masa selama enam hari bermula 9 Ogos ini.
Ekspedisi tersebut disertai 50 pendaki daripada pelbagai agensi antaranya kakitangan pejabat Sultan Pahang, JBPM, Hospital Sultan Ahmad Shah, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan wakil agensi media termasuk wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Hafiz Abbas.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Kontinjen Ekspedisi Simulasi Menyelamat Di Altitud Tinggi #Mardi Himal #Dataran Majlis Bandaraya Kuantan
;