Agong berangkat ke majlis bacaan doa selamat sempena Hari Keputeraan

Bernama
Jun 6, 2014 09:18 MYT
Agong berangkat ke majlis bacaan doa selamat sempena Hari Keputeraan
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi baginda tahun ini di Masjid Negara, di sini malam ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 7.15 malam itu disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Majlis bacaan Yasin dan doa selamat yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Shaikh Ismail Muhammad itu dimulakan selepas solat Maghrib.
Selepas itu diperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran oleh Ustaz Muhammad Anuar Ghazali, Juara Kategori Lelaki, Qari Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa kali ke-54 sebelum Seri Paduka menunaikan solat Isyak bersama jemaah lain.
Kira-kira 5,000 umat Islam turut serta menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat itu.
Antara kenamaan lain yang turut menyertai majlis bacaan Yasin dan doa selamat itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta wakil-wakil kedutaan asing.
Tuanku Abdul Halim, 87, yang menjadi Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua ditabalkan secara rasmi pada 11 April 2012.
Baginda pertama kali ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1971 ketika berusia 44 tahun.
#Agong #Hari Keputeraan
;