Agong berangkat ke istiadat sambutan Hari Pahlawan

Bernama
Julai 31, 2013 04:01 MYT
Yang di- Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat ke istiadat sambutan Hari Pahlawan di Dataran Merdeka.
Sebaik keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua, lagu 'Negaraku' dimainkan dan Tuanku Abdul Halim kemudian memeriksa barisan kawalan kehormatan utama diiringi 21 das tembakan meriam.
Kawalan kehormatan itu terdiri daripada 103 anggota pangkat-pangkat lain berserta empat pegawai, diketuai Mejar Amriza Ashaari dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Sejumlah 360 orang terlibat dalam perbarisan terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Darat Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Persatuan Bekas Tentera Malaysia dan Persatuan Bekas Polis Malaysia yang diketuai Supt Shahrir Daud dari PDRM.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin turut hadir.
Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
#Hari Pahlawan #sambutan #Yang di- Pertuan Agong