Agong baharu bakal dipilih Khamis ini

Bernama
Januari 21, 2019 16:13 MYT
SEMBILAN Raja Melayu yang menjadi ahli Majlis Raja-Raja akan membuat pemilihan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat khas. - Gambar hiasan
KHAMIS, 24 Januari ini akan menyaksikan pemilihan Yang di-Pertuan Agong buat kali ke-16 sejak Malaysia mencapai kemerdekaan lebih 61 tahun lalu.
Proses pemilihan ini adalah kesinambungan kepada sistem kerajaan beraja berasaskan Perlembagaan yang diamalkan di negara ini dengan raja atau sultan yang bergelar Yang di-Pertuan Agong akan bersemayam selama lima tahun.
Kekosongan jawatan Ketua Utama Negara itu adalah berikutan peletakan jawatan Sultan Muhammad V menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan pada 6 Januari lepas, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah institusi beraja di negara ini.
Bagaimanapun, kematangan institusi beraja menghadapi situasi ini cukup terserlah sehinggakan ia dapat ditangani dengan cara yang cukup harmoni tanpa sebarang krisis.
Tatacara pemilihan Agong
Apabila terdapat kekosongan pada jawatan Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-raja akan menjalankan fungsinya sepertimana dalam Perkara 38(6)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Hanya sembilan Raja Melayu yang menjadi ahli Majlis Raja-Raja akan membuat pemilihan itu pada mesyuarat khas yang ditetapkan.
Cara pemilihan itu dilakukan adalah seperti berikut:
Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan menyatakan seorang Raja layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong kecuali Raja itu belum dewasa atau seseorang Raja itu tidak berhasrat dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Seseorang Raja juga tidak layak untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong sekiranya Majlis Raja-raja mengambil ketetapan melalui undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain.
Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A. Aziz berkata, Majlis Raja-raja bertindak menurut budi bicara berhubung peranan memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya.
Berkaitan proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong, Seksyen 2, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan.
Jika Raja itu tidak menerima tawaran tersebut, Majlis Raja-raja akan menawarkan jawatan itu kepada Raja yang negeri berikutnya dalam senarai pemilihan itu dan demikianlah seterusnya sehingga seorang Raja menerima jawatan tersebut.
Senarai penggiliran
Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan di atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu , Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Senarai pemilihan tersebut dinyatakan dalam Seksyen 4 yang bermaksud, pada pemilihan pusingan pertama, senarainya adalah mengikut pengiktirafan keutamaan antara raja-raja sendiri. Namun, bagi pemilihan pusingan selepas itu, senarai pemilihan adalah mengikut kedudukan Negeri di dalam senarai yang disusun mengikut raja di negeri-negeri yang mana, mana-mana raja yang telah menerima jawatan Yang di-Pertuan Agong akan dipindahkan ke hujung senarai pemilihan.
Shamrahayu menjelaskan, pada Seksyen 4(2)(b), Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, ada dinyatakan “apabila ada sesuatu perubahan Raja sesuatu Negeri yang ada dalam senarai ketika itu, Negeri itu hendaklah dipindahkan ke hujung senarai itu.”
Tambahnya, peruntukan ini menunjukkan ada kemungkinan bagi negeri Pahang yang baru saja memasyhurkan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan lalu akan diletakkan di hujung senarai pemilihan yang terkini berdasarkan kepada Seksyen 4(2)(b) itu.
"Ada kemungkinan Pahang yang sepatutnya dalam senarai teratas akan beralih kepada hujung senarai pemilihan kerana perubahan Raja yang berlaku di negeri tersebut. Namun keputusan tertakluk kepada budi bicara Majlis Raja-Raja," katanya.
Pemilihan secara sulit
Sementara itu, laman web rasmi Majlis Raja-raja turut mengandungi maklumat prosedur bagaimana pengundian dijalankan.
Sekiranya Raja atau Sultan negeri tersebut berada dalam senarai teratas dan bersetuju untuk dicalonkan, baginda boleh diundi secara sulit oleh Majlis Raja-raja.
Kertas undi yang digunakan tidak bernombor serta ditandakan dengan pen dan dakwat sama.
Kemudiannya kertas undi akan dimasukkan ke dalam peti serta dimusnahkan sama ada dibakar atau dirincih di hadapan Raja-raja sebaik sahaja keputusan undian diumumkan.
Raja yang paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih untuk mengira kertas undi bersama-sama dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.
Dalam mesyuarat pemilihan itu, hanya Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-raja sahaja yang terlibat dalam proses pemilihan itu.
Majoriti lima undi
Semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan membekalkan satu kertas undi pada setiap Raja dan setiap Raja diminta menandakan pendapatnya sama ada Raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai atau tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada baginda.
Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun raja itu gagal memperolehi undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.
Proses hanya akan selesai selepas Baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong.
Selepas itu, barulah Majlis Raja-raja mengisytiharkan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.-Bernama
#Majlis Raja-Raja #Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja #Perlembagaan Persekutuan #Timbalan Yang di-Pertuan Agong #Yang di-Pertuan Agong
;