Agong alu-alukan usaha negara bendung ketirisan dana awam, banteras rasuah

Astro Awani
Februari 13, 2023 15:17 MYT
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengalu-alukan usaha membendung ketirisan dana awam termasuk inisiatif untuk memastikan mekanisme pemberian subsidi bersasar mencapai matlamat yang berkesan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengalu-alukan usaha membendung ketirisan dana awam termasuk inisiatif untuk memastikan mekanisme pemberian subsidi bersasar mencapai matlamat yang berkesan.
Baginda bertitah, ia penting untuk mendepani pelbagai cabaran yang mendatang memandangkan Malaysia selaku negara yang mengamalkan ekonomi terbuka tidak terkecuali menerima tempias cabaran ekonomi global.
Titah baginda, sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali dariapada menerima tempias cabaran ekonomi.
"Ini termasuk ketidaktentuan ekonomi pasca pandemik serta krisis geopolitik yang membawa kesan kepada rantaian bekalan dan tekanan inflasi yang meningkatkan kos sara hidup.
"Bagi mendepani cabaran ini, beta mengalu-alukan usaha untuk membendung isu ketirisan dana awam, termasuk inisiatif untuk mempercepat dan memastikan mekanisme pemberian subsidi bersasar mencapai matlamatnya dengan berkesan.
"Bagi membudayakan integriti dan memperkukuh tadbir urus, beta menghargai komitmen serta tekad kerajaan untuk membanteras rasuah secara agresif dengan menumpukan kepada aspek perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar," titah baginda ketika merasmikan pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di sini, pada Isnin.
Al-Sultah Abdullah bertitah, kerajaan pada masa sama juga akan menumpukan kepada agenda pembaharuan bagi memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.
"Buktinya, negara telah mencapai eksport RM1.55 trilion yang dicapai pada Disember 2022, melepasi sasaran tiga tahun lebih awal berbanding ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), sebanyak RM1.25 trilion menjelang tahun 2025.
Selain itu, baginda bertitah negara mencatat pertumbuhan paling tinggi dalam tempoh 22 tahun, iaitu berkembang 8.7 peratus pada tahun 2022 dan terbaik di Asia Tenggara.
"Ini dapat dicapai menerusi kerja keras dengan pendekatan pendekatan seluruh negara daripada pelbagai pihak merangkumi kerajaan, sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat keseluruhannya. Syabas Malaysia.
"Pelaksanaan dasar dan inisiatif nasional seperti dasar pelaburan baharu berteraskan aspirasi pelaburan nasional, akan merancakkan lagi ekonomi negara dan mencapai sasaran yang diunjurkan," katanya.
Al-Sultan Abdullah juga menitahkan kerajaan supaya terus berusaha memerangi kemiskinan tegar bagi mencapai sasaran sifar kemiskinan tegar pada 2025.
Titah baginda, Majlis Tindakan Sara Hidup juga akan diperkasa dengan menerap dan meningkatkan pendekatan secara menyeluruh kekuatan negara, bagi mendepani masalah inflasi dan peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
"Ekosistem perdagangan dalam negeri akan terus diperkasa bagi melindungi kepentingan pengguna melalui konsep mengharmonikan ekonomi.
"Kerajaan beta akan terus mengambil langkah untuk meringankan beban penternak, petani dan pengeluar makanan, susulan peningkatan kos pengeluaran yang berterusan supaya kelangsungan pengeluaran makanan negara berada pada tahap yang optimum dan aspek keterjaminan makanan negara kekal pada tahap terbaik.
"Ekosistem industri juga perlu sentiasa dikawal selia dan ditambah baik seiring perkembangan semasa," katanya.
#Peningkatan kos sara hidup #Yang di-Pertuan Agong #Dewan Rakyat #ekonomi
;