Agong akan teliti setiap perbelanjaan Kerajaan

Afiezy Azaman
Februari 26, 2024 12:30 MYT
Sultan Ibrahim turut berharap agar Kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun sepanjang pemerintahan Baginda. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa Baginda akan meneliti pembelanjaan Kerajaan dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang diperlukan sahaja.
Sultan Ibrahim turut berharap agar Kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun sepanjang pemerintahan Baginda.
"Dasar-dasar baharu yang lebih menyeluruh perlu diterus dan diperkenalkan antaranya, pengenalan kepada Akta Kewangan dan tanggungjawab fiskal 2023 yang merupakan satu langkah kem pembaharuan bagi meningkat urus tadbir pengurusan kewangan awam supaya lebih telus dan bertanggungjawab.
"Kerajaan mesti bersikap tegas bagi membendung ketirisan dan penyelewangan dana awam, kelemahan urus tadbir ini semua peringkat perlu diperkasa termasuk dalam Badan Berkanun dan syarikat milik kerajaan dan anak-anak syarikatnya," titah Baginda semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15.
Seri Paduka Baginda bertitah, pada tahun 2023 kedudukan ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 3.7 peratus dan kekal mampan walaupun prestasi pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global berada di tahap sederhana.
"Ini termasuk kadar pengangguran negara berada pada 3.3 peratus dan inflasi sebanyak 2.5 peratus.
"Jumlah pelaburan diluluskan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM329.5 bilion telah cipta lebih 127,000 ribu peluang pekerjaan dan tempoh yang sama bagi perdagangan antarabangsa pula eksport negara catat nilai RM1.426 trilion pada tahun 2023.
"Sebagai langkah jangka sederhana, Kerangka Ekonomi MADANI memperkasakan rakyat yang telah dilancarkan adalah komitmen kerajaan untuk merancakkan dan meningkatkan semua ekonomi dan pelabura," titah Baginda.
Sultan Ibrahim turut menyentuh mengenai hasrat Kerajaan yang telah merangka Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Belanjawan 2024 untuk menangkat taraf hidup rakyat ke tahap lebih tinggi berlandaskan keadilan sejagat.
"Saya juga berharap Kerajaan ambil pendekatan proaktif dalam melaksanakan agenda pembaharuan untuk memperkukuh daya saing negara sebagai sebuah ekonomi yang mampan sejajar dengan keperluan semasa.
"Kerajaan juga perlu menyediakan insentif yang menarik dan memudahkan segala urusan melalui tadbir urus cekap dan polisi yang dibuat di peringkat Persekutuan hendaklah disesuaikan dengan persekitaran di negeri-negeri kerana di setiap negeri mempunyai perbezaan dalam sektor pembangunan hartanah," titah Baginda.
Sultan Ibrahim turut bertitah mengenai peningkatan taraf pendidikan tinggi negara yang telah melahirkan ramai graduan bermutu tinggi namun peluang pekerjaan tidak setaraf dengan kelayakan dimiliki.
"Oleh demikian, Kerajaan perlu berusaha menarik pelaburan bernilai tinggi supaya peluang pekerjaan dihasilkan akan beri pendapatan berpatutuan," titah Baginda.
#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #pembelanjaan kerajaan #lebihan fiskal
;