Agong ada kuasa lantik 'caretaker' sehingga PRU diadakan - Tun Mahathir

Umavathi Ramayah
Ogos 5, 2021 22:19 MYT
Dr Mahathir Mohamad berkata, individu yang bertindak sebagai care taker kerajaan itu boleh membentuk Kabinetnya sendiri bagi menjalankan tugas kerajaan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk melantik 'caretaker' atau Perdana Menteri Interim sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan untuk membentuk kerajaan baharu, ketika negara berdepan dengan krisis politik.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, individu yang bertindak sebagai caretaker kerajaan itu boleh membentuk kabinetnya sendiri bagi menjalankan tugas kerajaan.
"Yang di-Pertuan Agong boleh membuat keputusan untuk melantik caretaker prime minister atau caretaker government. Ketika saya meletak jawatan, Baginda melantik saya sebagai Perdana Menteri Interim.
"Sekarang COVID-19, maka PRU tidak boleh diadakan," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya di sini, pada Khamis.
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, terpulang kepada Agong untuk membuat keputusan dan beliau akan akur kepada keputusan sekiranya Baginda memilih dari kalangan kerajaan minoriti.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.
Katanya dengan penarikan sokongan 12 ahli Parlimen dari UMNO, jelas mengambarkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri sebagai tidak lagi sah.
"Presiden UMNO. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bukan sahaja lapan tetapi ada empat lagi Ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
"Dulu Muhyiddin hanya ada dua majoriti sahaja, jadi dengan 12 Ahli Parlimen UMNO tarik diri, tak mungkin Muhyiddin ada majoriti," katanya lagi.
#COVID-19 #Mahathir Mohamad #Muhyiddin Yassin #Parlimen #Perdana Menteri #pilihan raya #Zahid Hamidi #pilihan raya umum #caretaker