Agensi sawit desak kerajaan jangan beri muka kepada EU
Hasimi Muhamad
Mac 6, 2019 19:45 MYT
Mac 6, 2019 19:45 MYT
Kerajaan didesak supaya menggantung sementara dengan serta-merta segala proses rundingan atau aktiviti perniagaan membabitkan minyak sawit dengan Kesatuan Eropah (EU).
Gesaan itu dibuat oleh empat agensi pengeluar sawit negara FELCRA, FELDA, RISDA dan Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia selepas mempengerusikan mesyuarat strategik bagi menghadapi kempen anti-sawit EU di Wisma FELCRA, hari ini.
Pengerusi FELCRA Bhd, Datuk Nageeb Wahab yang memimpin gerakan empat agensi itu, berkata ia bertujuan menuntut EU menamatkan sekatan produk minyak sawit negara berkuat kuasa pada tahun 2030.
Katanya, keputusan bersama ini dibuat berikutan selama ini Malaysia terlalu berdiplomasi berunding dengan EU yang mahu memboikot penggunaan produk minyak sawit.
“Ini kali pertama kami empat agensi duduk semeja dan berbincang serta membuat keputusan sepakat mendesak kerajaan lebih tegas mengatasi tindakan EU memboikot minyak sawit.
“Kita sudah buktikan minyak sawit adalah baik, lestari dan tidak memusnahkan hutan dan mencemar alam sekitar namun tiada siapa pun dengar suara kami.
“Hanya satu jalan saja untuk desak EU menarik balik sekatan minyak sawit dengan menggunakan desakan ekonomi dan politik.
“Kerajaan perlu lebih agresif lagi. Cukup-cukuplah (diplomasi) buat masa ini,” katanya dalam sidang media, pada Rabu.
Industri minyak sawit berdepan krisis meruncing apabila Parlimen EU meluluskan resolusi memboikot penggunaan produk minyak sawit yang dihasilkan menerusi cara tidak mampan menjelang 2030.
Resolusi itu termasuklah minyak sawit, komoditi penting bagi Indonesia dan Malaysia yang menghasilkan hampir 90 peratus minyak sawit dunia.
Mengulas lanjut, beliau berkata semua agensi sepakat menghantar memorandum kepada EU dalam tenpoh terdekat susulan tindakan EU itu akan menjejaskan pendapatan lebih 650,000 pekebun kecil dan lima juta isi rumah di negara ini.
“Memorandum berkenaan akan memperincikan mengenai nasib 650,000 pekebun kecil membabitkan lima juta ahli keluarga yang terkesan dengan tindakan EU memboikot produk kelapa sawit,” katanya.
Dalam perkembangan lain beliau menegaskan bahawa tindakan EU ini sebagai penjajahan ekonomi dalam memiskinkan pekebun kecil negara.
“Ini semua agenda politik mereka, dan cuba mensabotaj industri minyak kelapa sawit yang dipelopori Malaysia dan Indonesia.
"Malah, mereka juga tahu, minyak masak jenis lain tidak mampu menyaingi kebaikan dan manfaat minyak sawit,” katanya.
#Eksport Sawit
#FELCRA
#Felda
#industri sawit
#Kempen Anti-Sawit EU
#Kesatuan Eropah
#Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia
#risda