Agensi perlu kukuhkan kerjasama hadapi 'bencana dalam bencana' - PM Ismail Sabri
Ridauddin Daud
November 8, 2021 18:04 MYT
November 8, 2021 18:04 MYT
PUTRAJAYA: Semua agensi perlu menyelaraskan sumber dan bekerjasama erat dalam menghadapi situasi ‘bencana dalam bencana’ memandangkan varian COVID-19 masih belum terhapus sepenuhnya dari bumi Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada waktu ini, kerjasama setiap agensi amat diperlukan terutamanya dengan kitaran Monsun Timur Laut yang bermula 3 November lepas.
“Menyedari situasi dan risiko ‘bencana dalam bencana’ ini, saya ingin menekankan pentingnya untuk setiap agensi menjadi responder yang baik semasa menyelamat atau menguruskan pusat-pusat pemindahan.
“Ia bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 semaksimum mungkin dengan pematuhan kepada SOP atau garis panduan yang telah disediakan.
“Pada masa yang sama sebagai Keluarga Malaysia, saya menyeru semua pihak untuk berganding bahu merealisasikan semua perancangan yang telah disusun bagi menghadapi apa jua bentuk dan intensiti bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 (BKN 2021) di Putrajaya pada Isnin.
Tambah beliau, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah mengambil langkah proaktif dengan menggubal Dasar Pengurangan Risiko Bencana atau Disaster Risk Reduction (DRR).
Keluarga Malaysia | Bulan Keluarga Malaysia disambut setiap November
Jelasnya, dasar tersebut bukan sekadar penyediaan infrastruktur berhadapan bencana semata-mata tetapi meliputi semua tindakan pencegahan dan pengurangan risiko dalam setiap tahap kitaran bencana.
“Justeru, kajian Daftar Risiko Bencana (NRR) dilaksanakan untuk meningkatkan pemahaman terhadap risiko bencana yang telah atau berpotensi berlaku.
“Ia bagi memudahkan untuk kita merancang dan membuat keputusan secara bermaklumat, selaras dengan matlamat Sustainable Development Goals,” ujarnya.
Mengulas lanjut, bagi memantapkan usaha-usaha ini, beberapa inisiatif telah dilaksanakan bersama rakan strategik seperti MERCY Malaysia, UiTM, UKM, JICA dan komuniti Keluarga Malaysia, antaranya:
Keluarga Malaysia | Kerajaan komited beri yang terbaik
• Platform e-sumbangan yang menyelaras permintaan dan pembekalan barangan bantuan antara penderma (NGO, badan korporat dan orang perseorangan) dan penerima (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah).
• Daftar Risiko Bencana (NRR) mengenai maklumatmaklumat bencana yang boleh diperluaskan seiring peredaran masa.
• Community-Based Disaster Risk Management – Pandemic (CBDRM-P) yang melibatkan peranan komuniti dan pengurusan bencana.
• Kajian Kapasiti Negeri dan Kerajaan Tempatan di Malaysia terhadap Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana (Survey on Disaster Risk Reduction and Management (DRRM) Capacities of State and Local Governments in Malaysia).
-ENDS-
#ismail sabri yaakob
#bencana
#COVID-19
#siap siaga
#bencana dalam bencana
#KeluargaMalaysiaSiagaBencana