Agensi pencegahan rasuah Malaysia, Brunei tingkatkan kerjasama

Cynthia Ng
Jun 19, 2014 19:21 MYT
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed (kiri) menyampaikan buku 'Transformasi SPRM' kepada pengarah Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei Datuk Paduka Muhammad Juanada A. Rashid.
Malaysia dan Brunei melalui agensi rasuah masing-masing telah menjalankan 10 operasi membanteras jenayah rasuah merentasi sempadan secara bersama dalam jangka masa 12 tahun.
Pengarah Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei Datuk Paduka Muhammad Juanada A. Rashid berkata pergerakan manusia di antara kedua-dua negara amat tinggi, kerana Brunei bersempadan darat dengan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Kegiatan jenayah seperti penyeludupan diesel menjadi antara kes utama yang melibatkan rasuah merentas sempadan.
“Harga diesel di Brunei lebih murah berbanding Malaysia. Jadi kes penyeledupan berlaku. MACC dan BMR melakukan operasi bersama menyiasat kes-kes ini pada 2009. Kami mendapati 15 pegawai kastam Brunei terlibat dalam kegiatan penyeledupan diesel ke Malaysia menerusi Miri, Sarawak.
“Kes-kes ini masih dibicarakan di mahkamah. Pada hari Isnin, salah seorang pegawai yang terlibat didapati bersalah dan dihukum penjara tiga tahun. Boleh dikatakan bahawa aktiviti penyeludupan diesel telah berkurangan sejak operasi tersebut. Ini merupakan contoh kerjasama baik di antara BMR dan SPRM,” kata Muhammad Juanada.
Beliau berada di Kuala Lumpur bersama 15 pegawai BMR untuk menghadiri Mesyuarat Bilateral BMR-SPRM Kali Ke-10 yang berlangsung pada 19-20 Jun 2014.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata kedua-dua agensi anti-rasuah tersebut telah bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang siasatan dan operasi, terutamanya yang melibatkan aktiviti jenayah rentas sempadan yang melibatkan rasuah.
“Rasuah hari ini tidak lagi berbentuk tertutup dalam satu negara tetapi pengaliran wang, penyimpanan wang kadang-kadang melintasi batasan sempadan. Maka kita perlu mempunyai satu sistem hubungan kerjasama antara negara-negara yang lebih efektif,” kata Abu Kassim.
Kerjasama antara SPRM dan BMR selaras dengan Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah, UNCAC, Artikel 48 yang memerlukan agensi-agensi pencegahan rasuah untuk bekerjasama antara satu negara dengan negara lain.
Selain dari Brunei, SPRM telah membentuk kerjasama dua hala dengan Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong, Indonesia, Mesir, Kyrgyzstan, Thailand, Vietnam, Ghana, Austria, INTERPOL, dan Akademi Anti-Rasuah (IACA).
#Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei #Rasuah #SPRM
;