Agensi pemerkasaan agenda bumiputera perlu cekap, bertanggungjawab - PM

Astro Awani
Ogos 19, 2024 19:00 MYT
Berucap pada majlis pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), Anwar berkata semua dasar bumiputera tidak akan mengetepikan hak kaum-kaum lain. -BERNAMA
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agensi pemerkasaan agenda bumiputera agar memastikan proses pelaksanaan program dilakukan dengan lebih teliti, cekap serta bertanggungjawab.
Perdana Menteri menegaskan ia bagi memastikan segala program yang digerakkan dapat sampai ke akar umbi, sekali gus mengelakkan sebarang ketirisan peruntukan.
Berucap pada majlis pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), Anwar bagaimanapun berkata semua dasar bumiputera tidak akan mengetepikan hak kaum-kaum lain.
“Saya ingin tegaskan hal sedemikian.... Kalau ada orang terus pertikaikan dasar bumiputera ini mengetepikan suku-suku kaum lain, (tetapi) kalau ada suara-suara munasabah, kita boleh terima.
"Dasar bumiputera di Malaysia ini bersifat afirmatif untuk memikir dan merenung tentang keadaan ketidakadilan.
"Ia tidak pernah mengetepikan kedudukan anak India, Cina, atau suku kaum bumiputera sama ada Orang Asli, Sabah dan Sarawak," katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, pada Isnin.
Anwar menambah, dasar sama juga dilakukan terhadap Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang akan turut memberi peluang kepada semua rakyat.
"Apabila kita amanahkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk ketuai TVET, beliau pastikan Majlis TVET tentunya memberi ruang kepada anak-anak bumiputera.
"Tetapi kalau ada Cina, India, Orang Asli atau kawasan-kawasan terpinggir termasuk di Sabah dan Sarawak, itu mesti diberikan perhatian yang sama supaya rakyat dapat diangkat," tambah Perdana Menteri.
#Anwar Ibrahim #Agenda Bumiputera #Kerajaan Madani #PuTERA35
;