Agensi pelaksana geopark disaran guna pakai dokumen pembangunan geopark yang baharu
Bernama
Oktober 6, 2023 07:00 MYT
Oktober 6, 2023 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Agensi yang dilantik selaku pelaksana geopark disyorkan untuk mengguna pakai buku Pelan Pembangunan Geopark Negara (PPGN) 2021-2030 dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara (PLGN) sebagai panduan dalam membangun dan menguruskan geopark.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu penting, bagi menjadikan geopark negara bertaraf antarabangsa dan setara dengan UNESCO Global Geopark (UGGp).
"Penerbitan kedua-dua pelan ini merupakan inisiatif kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), dalam memperkasa agenda pembangunan dan pengurusan geopark negara dan perlu dirujuk serta diguna pakai dalam semua perancangan pembangunan fizikal negara," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bersempena pelancaran buku berkenaaan yang disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Seri Huang Tiong Sii pada Pameran dan Persidangan Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia 2023 (IGEM), pada Jumaat.
PPGN 2021-2030 merupakan pelan strategik dalam pembangunan sesebuah geopark, yang memperlihatkan hala tuju sesebuah Geopark Kebangsaan ke arah pengiktirafan UGGp untuk tempoh 10 tahun.
Ia menggariskan elemen strategi, tatacara serta tindakan agensi kerajaan yang terlibat, agar dapat digembleng secara bersepadu melalui pendekatan pengurusan bersama.
Sementara PLGN disediakan untuk dijadikan panduan pengurusan kepada pihak berkepentingan di peringkat kerajaan negeri serta agensi berkaitan, khususnya pihak pengurusan Geopark Kebangsaan, untuk memastikan semua strategi dan program yang terkandung dalam dokumen itu dapat dilaksana, berdasarkan piawai yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Geopark Kebangsaan dan UGGp.
Menurut kenyataan NRECC itu, kedua-dua pelan tersebut telah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-42 pada 18 Sept lepas, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diterima pakai dalam pembangunan dan pelaksanaan geopark oleh agensi persekutuan, dengan kerjasama kerajaan negeri bagi memperkasa ekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat.
Selain itu, mesyuarat juga bersetuju supaya cadangan PPGN 2021-2030 dan PLGN diterjemahkan dalam Rancangan Tempatan bagi pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.
Kementerian itu turut memaklumkan JMG, telah menjalankan aktiviti pemetaan warisan geologi khususnya geotapak sejak tahun 1990-an, untuk membangunkan kawasan geopark demi memelihara dan memulihara sumber warisan semula jadi di Malaysia.
"Konsep pembangunan geopark melibatkan tiga elemen penting iaitu pendidikan, pemuliharaan serta pembangunan secara lestari, untuk memastikan sumber warisan geologi, biologi dan budaya terpelihara dan pada masa yang sama, membolehkan penggunaan sumber warisan tersebut memperkasakan ekonomi komuniti setempat serta produk geopelancongan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA