Agensi lepas tangan, 10 ejen pakej umrah dakwa jadi 'kambing hitam'
Astro Awani
Januari 9, 2018 15:48 MYT
Januari 9, 2018 15:48 MYT
Sepuluh individu yang dilantik sebagai agen di sebuah agensi pakej umrah mendakwa mereka telah ditipu dan dijadikan kambing hitam.
Agensi ini dikatakan berpangkalan di Johor dengan satu cawangannya di Sungai Petani, Kedah yang baru beroperasi selama tiga bulan bermula 1 Oktober lalu.
Mangsa yang juga ejen di agensi berkenaan mendedahkan perkara ini ekoran bimbang akan ada lagi jemaah lain yang bakal ditipu dan terkandas di Tanah Suci.
Menurut mereka sebelum ini terdapat jemaah yang memberi maklum balas negatif susulan perkhidmatan yang diberi tidak setimpal dengan bayaran yang dikeluarkan.
Tambah mereka, perkara ini sangat menyedihkan apabila jemaah perlu menggunakan duit sendiri untuk membeli tiket penerbangan pulang ke Malaysia.
Sementara itu, Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff berkata ini merupakan aduan pertama bagi tahun 2018.
Masalah ini timbul setelah bayaran yang dikeluarkan tidak setimpal dengan kemudahan yang disediakan.
Beliau berkata, bagi menangani masalah ini daripada berlaku secara berleluasa, perkara tersebut perlu dilaporkan kepada pihak berwajib.
Menurutnya, pihak berkenaan perlu mengambil langkah yang efektif bagi melindungi hak pengguna.
"Aduan yang kita terima jemaah tidak dibekalkan tiket untuk pulang ke Malaysia. Ini menyukarkan para jemaah untuk pulang dan perkara ini telah diselesaikan oleh ejennya tanpa bantuan daripada syarikat.
"Persatuan pengguna menerima aduan penipuan jemaah dan kita berharap pihak atasan memantau perkara ini dan melaksanakan mekanisme terbaik untuk melindungi pengguna terutamanya jemaah untuk menunaikan umrah dengan selesa," kata Mohd Yusrizal.
Dalam perkembangan sama, individu bergelar "ustaz" yang bertanggungjawab menguruskan 10 individu ini gagal dihubungi sejak Disember lalu.
Berikutan itu, kesemua mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berhubung hal itu untuk mempertahankan diri bahawa mereka tidak bersalah.
Pada disember lalu, lebih 25 jemaah membuat laporan mendakwa ditipu seorang individu bergelar “ustazah” menipu pakej umrah