Agensi kerajaan, swasta harus main peranan angkat industri kreatif - Annuar

Bernama
November 12, 2021 00:21 MYT
Annuar berkata unsur-unsur industri kreatif perlu diperkukuh, maka MyCreative dan Cendana perlu menggarap segala seni budaya dalam negara untuk diangkat ke tahap yang lebih tinggi. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Agensi kerajaan dan swasta harus memainkan peranan supaya dapat menggali dan menggarapkan unsur-unsur industri kreatif di negara ini seterusnya diangkat ke tahap lebih tinggi selain menjana pendapatan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa berkata ia penting kerana sumbangan industri kreatif kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) masih rendah walaupun Malaysia kaya dengan hasil-hasil kreatif.
"Idea-idea kreatif perlu ditransformasi selain sebagai warisan dan kebanggaan ia juga boleh menjadi satu cabang untuk menjana pendapatan.
"Di sesetengah negara sumbangan sektor industri kreatif ini mencapai tahap yang tinggi kepada pendapatan negara mereka," katanya ketika berucap di Majlis Pengumuman Rakan Usahasama Art In The City 2021 di sini malam ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) KKMM Mastura Ahmad Mustafa; Pengerusi MyCreative Ventures Noor Azmi Mohd Said; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) Izan Satrina Mohd Sallehuddin dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Annuar berkata unsur-unsur industri kreatif perlu diperkukuh, maka MyCreative dan Cendana perlu menggarap segala seni budaya dalam negara untuk diangkat ke tahap yang lebih tinggi.
"Sebagai contoh 'Mak Yong' yang pada asalnya adalah satu kaedah rawatan atau kaedah yang biasa-biasa yang digunakan di kampung.
"Amalan ini biasa, tapi ia boleh diangkat kepada satu tahap yang akhirnya menjadi satu industri profesional dan menjana pendapatan selain membuka peluang pekerjaan," katanya.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #Art In The City 2021 #KKMM #MyCreative
;