Agensi di bawah KASA siap sedia digerak hadapi banjir

Bernama
Disember 18, 2021 17:41 MYT
Penduduk setempat meredah air banjir berikutan hujan lebat sejak semalam ketika tinjauan di Kampung Jalan Kebun Seksyen 30 Shah Alam hari ini. - Bernama
GEORGE TOWN: Semua agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah diarah bersiap sedia untuk berdepan bencana banjir di beberapa negeri susulan hujan lebat berterusan beberapa hari ini, kata Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Mansor Othman.
"Amaran hujan lebat berterusan telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi. Kita telah arahkan semua agensi di bawah KASA untuk bersedia berdepan banjir dan segera menyalurkan maklumat berkaitan bencana itu kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pembersihan pantai sempena Hari Alam Sekitar Negara 2021 di Pantai Batu Ferringhi di sini hari ini.
Pada program itu, lebih 100 kilogram sampah-sarap di kawasan pantai dikutip oleh sukarelawan yang terdiri daripada orang awam dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang.
Beberapa kawasan di Selangor, Hulu Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan dan Terengganu mula dilanda banjir semalam selepas hujan lebat berterusan selama beberapa hari ini.
Mansor berkata selain hujan lebat berterusan, masalah saliran dan longkang tersumbat yang disebabkan oleh pembuangan sampah-sarap juga dikenal pasti sebagai satu daripada faktor utama penyebab banjir kilat.
"Pencemaran alam dan bencana akan dapat dikawal menerusi kerjasama manusia dengan memastikan kita tidak merosakkan alam sekitar," katanya.
-- BERNAMA
#KASA #banjir #hujan lebat #Mansor Othman
;