Agenda TVET perlu diangkat, diiktiraf dalam sistem pendidikan arus perdana - TPM Zahid

Bernama
Oktober 3, 2023 18:17 MYT
Ahmad Zahid berharap TVET menjadi pilihan utama pendidikan dan kerjaya dalam kalangan rakyat sebagaimana di negara maju lain seperti Jerman. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diangkat dan diiktiraf dalam sistem pendidikan arus perdana negara.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata ini supaya TVET menjadi pilihan utama pendidikan dan kerjaya dalam kalangan rakyat sebagaimana di negara maju lain seperti Jerman.
"Saya menyarankan Majlis TVET Negara untuk melihat agar menjadikan laluan pendidikan dan kerjaya melalui TVET dirangka seiring dengan keperluan tenaga kerja, sektor dan bidang industri atau teknologi baharu bersesuaian dengan IR4.0 yang makin berkembang," katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Hantaran itu menyusul selepas beliau mengadakan pertemuan dengan pengarah serta kepimpinan Sekretariat Majlis TVET Negara di Putrajaya, antara lain membincangkan mengenai langkah untuk meneruskan usaha mempromosi agenda TVET di dalam negara.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sebagai "Central Agency", Sekretariat Majlis TVET Negara akan terus berfungsi menyelia dan memantau pelan strategik pembangunan TVET negara termasuk mewujudkan sistem permohonan sehenti bagi kemasukan ke pusat pengajian awam menawarkan kursus TVET dan menyelaras tahap persijilan serta mengiktiraf industri menawarkan TVET.
"Semoga komitmen dan pendekatan diambil oleh Kerajaan Perpaduan dalam mengangkat agenda TVET ini dipermudahkan untuk merencana masa hadapan yang lebih bermakna buat seluruh rakyat Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
#pendidikan TVET #Zahid Hamidi #sistem pendidikan negara #Majlis TVET Negara
;