Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam tumpu lima Bidang Keberhasilan Reformasi

Bernama
September 10, 2024 19:39 MYT
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika menyampaikan amanat pada Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024 di Puspanitapuri hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan menumpukan lima Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR) yang diperkukuh dengan 20 strategi dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam digagaskan beliau.

Ringkasan AI
  • Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri, memfokuskan lima Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR) dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam. Pendekatan 'Associated and Integrated Strategy' akan digunakan oleh kerajaan untuk mencapai reformasi ini. Agenda reformasi akan diperkuat melalui pemantauan prestasi dan komunikasi strategik menggunakan media sosial.

Lima BKR itu ialah Penghayatan Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan, dan Memperkasakan Sinergi Awam dan Swasta.
Shamsul Azri semasa berucap pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN di sini hari ini berkata sebahagian besar BKR itu adalah bersifat low hanging fruits atau sesuatu yang mudah dicapai dan ada juga memerlukan pelaksanaan dalam jangka masa sederhana dan panjang.
Justeru, beliau berkata kerajaan akan menggunakan pendekatan Associated and Integrated Strategy dalam usaha merealisasikan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.
"Associated ini menekankan konsep whole-of-nation (keseluruhan negara) melibatkan sektor swasta dan Integrated pula ialah konsep whole-of government (keseluruhan kerajaan) membabitkan integrasi antara jabatan kerajaan," katanya.
Shamsul Azri berkata agenda reformasi akan dilaksanakan menggunakan lima pendekatan iaitu membangunkan kerjasama strategik dan sinergi antara agensi terlibat, perkongsian sumber secara optimum, meningkatkan penyampaian perkhidmatan, mengetengahkan inisiatif yang memberikan pulangan kepada nilai wang dilaburkan; serta memastikan setiap inisiatif dilaksanakan menyumbang secara langsung kepada matlamat ekonomi MADANI.
Mengulas pendekatan perkongsian sumber secara optimum, beliau berkata inisiatif itu berupaya memecahkan tembok silo antara pelbagai entiti.
"Perkongsian maklumat dan komunikasi antara jabatan hendaklah dipermudah agar dapat mempercepat pelaksanaan reformasi yang kita impikan," katanya.
Beliau berkata Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam itu juga diperkasakan dengan dua pemboleh daya utama yang akan membantu memeta kejayaan reformasi perkhidmatan awam iaitu pemantauan, pengukuran dan penilaian prestasi, dan komunikasi total.
Di bawah pemboleh daya utama pertama, Shamsul Azri berharap jawatankuasa memantau seperti Majlis Tindakan Malaysia MADANI (MTMM), Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR), Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Jawatankuasa Pemantauan Penyampaian Perkhidmatan (JP4) dapat memperkukuh elemen agenda yang digagaskan.
SHAMSUL AZRI-AGENDA 3 PUTRAJAYA
Shamsul Azri turut mencadangkan supaya diwujudkan satu bentuk penganugerahan, pengiktirafan atau penghargaan sebagai pemangkin kepada kementerian serta penjawat awam dalam meningkatkan kecekapan dan melaksanakan penambahbaikan.
"Namakanlah seumpama Anugerah Kecemerlangan Reformasi Perkhidmatan Awam atau apa-apa nama bersesuaian. Saya yakin ini akan menyuntik lagi semangat untuk terus komited meningkatkan prestasi dan penyampaian perkhidmatan, memenuhi jangkaan rakyat, dan membina masa depan lebih baik bagi rakyat Malaysia," katanya.
Menjelaskan mengenai komunikasi total, Shamsul Azri menganjurkan kerajaan melakukan penambahbaikan kepada aspek hebahan dengan mewujudkan pemberitahuan strategik dengan memanfaatkan pelbagai platform khususnya media sosial.
"Dalam membuat sesuatu perancangan, sering diabaikan mengenai aspek hebahan atau bahasa mudahnya 'tukang canang' bahawa kita telah buat inisiatif, kita telah tambah baik perkhidmatan, kita telah respons kepada aduan dan sebagainya.
"Di negara kita ini, jumlah pengguna media sosial yang aktif dianggarkan mencecah 26.8 juta. Maknanya, kita ada ruang dan peluang sama banyak untuk menghebahkan apa yang perkhidmatan awam dan juga kerajaan laksanakan," katanya.
Beliau turut memuji respons strategik ditunjukkan oleh Jabatan Imigresen dalam media sosial baru-baru ini yang disifatkan sebagai tindakan show without telling untuk menyampaikan dengan jelas bahawa jabatan itu serius menangani aduan pelanggan mereka.
Oleh itu, katanya kerajaan perlu mengadakan libat urus berterusan dengan pihak media di samping mengarusperdanakan pasukan media (komunikasi korporat) di kementerian dan jabatan.
"Saya serius dalam perkara ini. Bagi saya, pasukan media di kementerian dan jabatan mestilah menguasai dan mendepani alam maya.
"Mereka perlu memahami roh dan falsafah pewujudan satu-satu inisiatif dan aspirasi oleh kerajaan. Maka, adalah penting supaya pasukan ini dilengkapi dengan kompetensi, peralatan dan fasiliti terkini media khususnya berkaitan media sosial," katanya.
-- BERNAMA
#Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam #Bidang Keberhasilan Reformasi #perkhidmatan awam #ketua setiausaha negara #Shamsul Azri Abu Bakar
;