Agenda reformasi Malaysia, usaha memecah dikotomi timur-barat - PM

Irfan Faruqi
Mac 15, 2024 07:45 MYT
Agenda reformasi yang dilaksanakan Malaysia membawa kepada pembangunan bersama ekonomi dunia tanpa terperangkap dalam dikotomi timur-barat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. - Gambar Bernama
HAMBURG: Agenda reformasi yang dilaksanakan Malaysia membawa kepada pembangunan bersama ekonomi dunia tanpa terperangkap dalam dikotomi timur-barat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, langkah-langkah reformasi struktur yang sedang dilaksanakan juga akan memberi manfaat besar kepada perniagaan.
“Ia akan beri manfaat langsung kepada perniagaan dan pelabur dengan mengurangkan kos perniagaan, membina keyakinan kepada sistem di Malaysia dan akhirnya memastikan kelangsungan pelaburan untuk jangka panjang.
“Justeru, dengan Kerangka Ekonomi Madani mengandungi komitmen kami untuk melonjak Malaysia sebagai peneraju ekonomi di Asia, sekali gus menjana pembangunan mampan dan inklusif.
“Seterusnya menjadikan Malaysia sebagai pusat ekonomi dengan mengekalkan hubungan bilateral yang baik dengan Jerman dan Eropah (dan) meneruskan kolaborasi yang kukuh dengan Amerika Syarikat.
“Pada masa sama, mengusahakan perkongsian strategik baharu dengan China, Korea Selatan, Jepun, India dan Australia,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam Makan Malam Persahabatan Asia Timur ke-101, dihoskan oleh Pertubuhan Perniagaan Jerman Asia Pasifik (OAV), di sini, pada Jumaat.
Bagi menguatkan lagi mesej penyatuan itu, Anwar mengungkapkan pujangga pemikir Jerman, Johann Wolfgang von Goethe, dalam karyanya West-Eastern Divan yang menekankan kepentingan membina jambatan persefahaman budaya.
Amwar mengaitkan falsafah Goethe dengan hasrat yang cuba dikecapi Malaysia iaitu persefahaman ekonomi dan budaya antara timur dan barat.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri sekali lagi menekankan kepentingan Jerman sebagai rakan dagang penting bagi Malaysia.
“Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Jerman di Asia Tenggara, dan Jerman merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Eropah.
“Daripada Allianz hingga ZF Group, lebih 700 syarikat Jerman membuka operasi di Malaysia dengan memanfaatkan kedudukan strategiknya di tengah-tengah Asia Pasifik,” katanya.
Dalam masa sama, Anwar menyeru kepada kerjasama yang proaktif dalam menyikapi perubahan global dan bersama-sama memberi keutamaan kepada penyatuan, bukannya perpecahan.
“Kita perlu terinspirasi untuk belajar dari satu sama lain tanpa rasa takut atau sangsi. Seterusnya, pertukaran budaya yang memperkaya, bukannya menghakis kemanusiaan.
“Cabaran-cabaran hari ini seperti perubahan iklim, kesenjangan ekonomi dan perkembangan teknologi sedang mencipta sejarah. Perkembangan ini mengingatkan kita agar menghargai legasi masing-masing, pada masa sama bergerak kedepan secara bersama,” katanya.
Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi ke Jerman yang bermula sejak 11 Mac lalu dan berakhir pada Jumaat.
#PM Anwar Ibrahim #reformasi Malaysia #dikotomi timur-barat #Kerangka Ekonomi MADANI
;