Agenda pengurangan risiko bencana perlu diterap dalam perancangan pembangunan
Israr Khalid
Disember 20, 2022 07:45 MYT
Disember 20, 2022 07:45 MYT
KUALA LUMPUR: Setiap perancangan pembangunan seharusnya memberi perhatian kepada aspek pengurangan risiko bencana (disaster risk reduction, DRR) sebagai perkara paling utama.
Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana, DPPC (UTM) Dr. Khamarrul Azahari Razak melihat pengabaian aspek itu yang akhirnya membawa bencana apabila unsur alam tidak diendahkan dan keseimbangannya dirosakkan.
Katanya, konsep-konsep mitigasi struktur dan bukan struktur perlu diterapkan dalam sebarang bentuk perancangan pembangunan dengan mengambil kira risiko semasa dan risiko mendatang untuk menjadikan pembangunan itu lebih lestari dan berdaya tahan.
“Kita tak boleh mengurangkan risiko dalam masa yang singkat, ini satu ketetapan di mana perubahan guna tanah in satu kaedah yang amat kos efektif, mengurangkan risikonya menerusi perancangan spatial, memastikan kawasan berisiko menyerap dan mempunyai “coping capacity” dalam kita memastikan sekiranya berlaku ancaman atau bencana di kawasan tersebut, penduduknya mampu bangkit semula dengan lebih cepat dan lebih baik.
“Ini perlu diterapkan dalam kawasan-kawasan pembangunan yang baharu,” ujarnya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Melihat saban tahun hampir 5 juta penduduk terdedah kepada bencana alam terutamanya banjir, beliau merasakan perlu juga ada strategi pemindahan risiko dalam memperjuangkan agenda DRR.
Contohnya dengan membeli insurans oleh penghuni kawasan-kawasan rentan sebagai satu bentuk kaedah menyerap tekanan di kala bencana datang tanpa diduga dan mereka tidak bersedia dari sudut ekonomi.
“Ini satu kaedah di mana negara-negara maju amalkan, masyarakat menerima dan memahami tahap risiko dan bersiap siaga untuk menghadapi ancaman terburuk sepanjang mereka menetap atau menjalankan perniagaan di kawasan terbabit.”