Agenda literasi digital hanya jadi kenyataan jika saya jadi PM semula - Ismail Sabri

Firdaus Azil
Oktober 22, 2022 12:32 MYT
Perdana Menteri berkata, agenda literasi digital mampu ditingkatkan dan menjadi kenyataan jika beliau menerajui semula kerajaan. - Bernama
BERA: Agenda literasi digital hanya mampu ditingkatkan dan menjadi kenyataan jika rakyat memilihnya dan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, Kerajaan BN sentiasa menitikberatkan penguasaan literasi digital dalam kalangan Keluarga Malaysia, terutamanya ketika negara menempuh era revolusi industri 4.0
Atas sebab itu Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia diharap dapat membuat penilaian tepat, dan mengundi BN kembali pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang jatuh pada 19 November ini.
“Agenda literasi digital mampu ditingkatkan dan menjadi kenyataan jika saya menerajui semula Kerajaan.
“Saya berharap anda semua mampu membuat penilaian yang tepat dan mengundi semula Kerajaan saya pada 19 November ini,” katanya lagi.
Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan YAB Perdana Menteri Dan Penyerahan Komputer #thetaCares, di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini pada Sabtu.
Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata, penguasaan literasi digital penting bagi membolehkan Malaysia melangkah ke hadapan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
Katanya lagi, Industri 4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, internet pelbagai benda (IoT), analisis dan data raya, integrasi sistem, penggunaan robotik dan pengkomputeran awan yang bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden.
“Literasi digital yang kita miliki hari ini mewakili sebahagian ilmu yang terlalu kecil berbanding apa yang bakal hadir pada masa hadapan, bahkan ketika itu pasaran kerja memerlukan individu berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis.
“Ini kerana dalam revolusi industri 4.0, segala urusan harian manusia akan banyak bergantung kepada teknologi terkini seperti automasi robotik yang dicipta khusus untuk mengoptimumkan keperluan dan keselesaan manusia,” katanya lagi.
Sebagai contoh, ketika beliau merasmikan Hospital Bera, Perdana Menteri berkata, beliau terpegun melihat pengunaan robotik yang menghantar makanan kepada pesakit di wad, sekali gus membuktikan kecanggihan teknologi moden yang diguna pakai di hospital tersebut.
Dalam ucapannya Perdana Menteri berkata, Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lepas yang merangkumi pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif kepada seluruh Keluarga Malaysia.
“Kerajaan hari ini sentiasa mengutamakan pembangunan digital dan kekal komited mewujudkan masyarakat celik teknologi,” katanya lagi.
Antara insiatif yang dimaksudkan, kata Perdana Menteri, lanjutan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dengan tawaran langganan pelan data internet dengan hanya RM30 sehingga April 2023, Inisiatif e-Pemula RM200 untuk belia dan pelajar sepenuh masa serta RM100 kepada kumpulan M40.
Selain itu beliau berkata, Kerajaan akan memperluas tafsiran peranti digital di bawah Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar untuk turut merangkumi jam tangan pintar.
Di bawah projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 pula, Perdana Menteri berkata, Kerajaan akan menyediakan 100 peratus liputan internet di kawasan berpenduduk.
Turut tersenarai, pelaksanaan Projek Internet Luar Bandar dengan mengoptimumkan jaringan kabel elektrik untuk menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada lebih 60,000 penduduk luar bandar, dan Digital Nasional Berhad (DNB) akan memperluas rangkaian 5G di seluruh negara merangkumi 70 peratus kawasan berpendudukan tinggi.
Selain itu Perdana Menteri berkata, Keluarga Malaysia juga bakal menikmati kelajuan internet lebih pantas dan capaian internet 5G yang lebih murah.
#Perdana Menteri #PRU15 #agenda literasi digital #revolusi industri
;