Agenda keselamatan makanan adalah agenda keselamatan negara - Zahid

Hilal Azmi
Mac 10, 2016 17:33 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada perasmian Persidangan Serantau Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) bagi Asia dan Pasifik Ke-33 di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjamin soal keselamatan makanan sama seperti hal keselamatan nasional.
"Kita sudah lihat banyak kes apabila sesebuah negara runtuh, makanan sukar diperoleh kerana soal keselamatan nasional dikompromikan," katanya sambil menegas prasyarat untuk mengekalkan jaminan makanan adalah keselamatan nasional.
Sambil memberitahu isu keselamatan makanan amat dekat di hatinya, beliau berkata pengeluaran makanan adalah sukar jika sesebuah negara dibelenggu peperangan.
"Saya komited untuk memastikan agenda ini bukan sahaja agenda nasional semata-mata, tetapi juga sebagai agenda serantau malah diperkukuhkan agar agenda keselamatan makanan menjadi realiti," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Serantau untuk Asia dan Pasifik Ke-33 Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di sini hari ini.
Tambahnya lagi, tiga perkara perlu diberi perhatian bagi memastikan agenda keselamatan makanan menjadi realiti, iaitu merangsang pelaburan sektor swasta dalam pertanian, menangani isu perubahan iklim dengan pertanian mapan dan mengurangkan kemiskinan dengan memanfaatkan biodiversiti.
Pada akhir majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan kempen MySaveFood, satu inisiatif global untuk mengurangkan pembaziran makanan.
Persidangan lima hari yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya sejak 7 Mac, dikendalikan Kementerian Pertanian dan Asas Tani serta dihadiri delegasi daripada 46 negara Asia-Pasifik.
#Ahmad Zahid Hamidi #FOA #Keselamatan makanan #Keselamatan Nasional #MySaveFood
;