Agenda kesejahteraan, kesedaran impak sosial di Malaysia kini semakin meningkat

Haikal Raman
Jun 2, 2023 18:14 MYT
Usahawan tani wanita di Tambunan, Sabah yang telah dilatih melalui program pemerkasaan pelbagai dimensi oleh Good Shepherd Services. Antara projek disokong Yayasan Hasanah dengan kerjasama Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR: Kesedaran terhadap impak sosial kini dilihat semakin meningkat di semua peringkat berkepentingan di Malaysia, tidak hanya peranan yang digerakkan daripada sektor khusus sahaja sebaliknya penglibatan sama pihak awam serta swasta.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata, masyarakat memahami bahawa perkara tersebut bertindak lebih daripada nilai kedermawanan (philanthropy) malah, ia berperanan sebagai ekosistem utama yang memacu kepada kelestarian masyarakat.
“Landskap impak sosial telah berubah dalam pelbagai cara dan kami di yayasan memberi fokus kepada pendidikan, pembangunan komuniti, kesenian dan ruang awam, alam sekitar, dan pengetahuan.
"Ia selari dengan inisiatif persekitaran, sosial dan pentadbiran (ESG) secara amnya
“Kita sedar menangani ketidaksamaan sistemik tidak boleh dilakukan dalam hanya masa satu malam dan bukan sebuah gerakan yang silo, ia memerlukan penglibatan daripada pelbagai pemegang taruh.
“Oleh demikian, kerjasama awam-swasta-masyarakat (public-private-people, PPP) akan dapat menggerakkan kita semua ke arah keterangkuman sosial, pembangunan keadilan dan kesaksamaan masyarakat yang lebih baik.
"Impak sosial seperti ini yang kita inginkan sebagai aspirasi kesejahteraan semua,” katanya ketika menjadi tetamu bagi program Agenda AWANI pada Selasa di sini.
Yayasan Hasanah, yayasan berasaskan impak di bawah Khazanah Nasional Bhd menguruskan dana sebanyak RM222.3 pada 2022, di samping menyokong 132 projek impak sosial baharu dan bekerjasama dengan 111 rakan sosial impak.
Dipandu oleh peranan tiga C iaitu selaku Convenor (Penghubung), Collaborator (Rakan Kerjasama) dan Catalyst for Change (Pemangkin Perubahan), yayasan tersebut membantu 'meruntuhkan' sempadan dan menghubungkan rakan-rakan, giat memperjuangkan perpaduan dan bukannya persaingan, serta memacu penyelesaian dan melabur dalam inovasi.
Agenda AWANI: Capitalising Change: Igniting mainstream social impact
Selaras dengan itu, Yayasan Hasanah akan mengadakan The Hasanah Forum (THF) 2023, acara impak sosial utama Malaysia, yang berlangsung pada 20 hingga 22 Jun ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Bertemakan ‘Fostering Justice-Based Philanthropy: Shifting the Narrative to Action’, THF 2023 menghimpunkan pemimpin dan pengamal impak sosial; termasuk organisasi masyarakat sivil, perusahaan sosial, syarikat, penggubal dasar dan ahli akademik.
Berlangsung serentak dengan THF ialah AVPN Global Conference 2023, persidangan pelaburan sosial terbesar di Asia yang mengumpulkan pelabur global dan Asia, pembiaya, dermawan, penggubal dasar, serta Rakan Kongsi Terhad. Kali ini, AVPN Global Conference 2023 dihoskan bersama oleh Yayasan Hasanah, di mana persidangan ini dibawakan buat pertama kalinya ke Malaysia.
Menurut Shahira, THF bertujuan menghubungkan pelbagai pemain impak sosial dan dilihat sebagai peluang terbaik kepada para pelabur, usahawan sosial serta profesional impak dalam bertukar pandangan bagi memacu pertumbuhan sektor tersebut di rantau ini.
“Acara ini akan membawakan ucap tama, panel dan bengkel daripada pakar dalam bidang ini selain memberikan pencerahan yang bermakna terhadap trend impak sosial, peluang serta cabaran dalam arena ini.
“Para peserta berpeluang untuk membina rangkaian dengan individu dan organisasi yang mempunyai hala tuju serta fokus yang sama serta membuka ruang kerjasama juga kolaborasi yang lebih dinamik,” ujarnya.
Yayasan Hasanah secara keseluruhannya telah memberi impak kepada lebih 2.4 juta individu di Malaysia, merentasi setiap lapisan masyarakat sejak penubuhannya pada 2015.
Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Asian Venture Philanthropy Network (AVPN), Naina Subberwal Batra, AVPN Global Conference memberi fokus untuk mengangkat suara Asia ke hadapan sebagai wacana global.
Dengan tajuk ‘Global Challenges: Asian Solutions’, ia akan membincangkan isu-isu mendesak dalam kesejahteraan belia, jantina, iklim dan penjagaan kesihatan menerusi kerjasama serta pemilikan komuniti.
“Delegasi kami adalah terdiri daripada pelbagai yayasan, badan korporat, pejabat keluarga dan penggubal dasar dari seluruh negara. Mereka berpeluang memahami lebih mendalam terhadap konteks pelaburan sosial di Malaysia dan mengangkatnya ke peringkat rantau Asia Pasifik.
“Sepanjang krisis pandemik COVID-19, kita menyaksikan pelbagai usaha kerjasama yang baik berlaku di Malaysia. Justeru itu, kami percaya persidangan ini bakal memberi pencerahan kepada para delegasi dari seluruh negara terhadap kuasa kolaborasi dalam mencapai impak diinginkan masing-masing,” jelasnya.
Ia merupakan tanggungjawab semua pihak, malah generasi muda juga dilihat berperanan sebagai penghubung antara impak sosial dan inovasi perniagaan.
Sertai persidangan THF dan AVPN Global Conference 2023 di mana kolaborasi ini membawakan harga tiket eksklusif untuk rakyat Malaysia.
Sebagai alternatif, siaran langsung THF boleh diakses menerusi platform atas talian secara percuma. Untuk mendapatkan tiket persidangan atau mendaftar bagi akses percuma ke strim langsung THF, layari thf.yayasanhasanah.org
#Yayasan Hasanah #AVP Global Conference 2023 #The Hasanah Forum #Impak Sosial
;