Agenda bumiputera bukan bersifat populis lagi
Najib Aroff
September 1, 2018 11:51 MYT
September 1, 2018 11:51 MYT
“Cukuplah, jangan jual peluang yang diberi kerajaan terhadap bumiputera dalam bentuk kontrak mahupun Permit Kelulusan (AP),” itu antara ayat penutup Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas menyampaikan ucaptama perasmian Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018.
Malah Perdana Menteri tegas mengatakan kerajaan baharu akan membatalkan kontrak yang diberikan sekiranya individu yang menerima kontrak tersebut menjual kepada pihak lain.
“Kita berharap kerajaan baharu akan bantu bumiputera tetapi jika kita beri (kontrak dan AP) kepada mereka, mereka jual (kepada pihak lain).
“Jika ia diberi kepada mereka, mereka harus laksanakan. Jika mereka menjual (kontrak), maka ia akan terbatal. Minta maaf. Jika tidak ada kemampuan (kekangan kewangan) jangan meminta kontrak.
“Jika kerajaan sedia ada akan dikalahkan kerana permintaan mereka tidak ditunaikan, tidak mengapa. Kita di sini bukan untuk aniaya bumiputera,” kata Dr Mahathir sambil disambut tepukan hadirin.
Dr Mahathir dalam ucapannya juga menyentuh tentang isu AP yang kerap dianggap memberi kekayaan luar biasa kroni kepada kerajaan.
“Apabila individu yang diberi AP berjaya tubuh syarikat dan berjaya, mereka dituduh sebagai kroni kerajaan, namun bagi mereka yang dapat AP serta jual AP itu kepada orang lain kemudian gagal, maka mereka bukan kroni.
“Kalau kita tidak mahu dituduh sebagai kroni, kita peru gagal semuanya,” kata Dr Mahathir berseloroh.
Beliau berkata tuduhan itu antara yang dilemparkan terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) kononya dasar itu gagal.
“Dahulu kita hanya ada dua peratus doktor bumiputera, kini ada lebih 40 peratus selepas kita beri biasiswa kepada individu yang bukan berada pada kedudukan teratas di dalam kelas mereka.
“Kita percaya walaupun tiada merit, mereka juga ada kebolehan dan mereka berjaya,” katanya membuktikan kejayaan DEB.
Dr Mahathir berkata permasalahan utama bumiputera masih sama iaitu budaya serta sikap.
“Saya lihat di negara lain, tidak kira warna kulit atau bangsa, budaya yang membezakan kejayaan mereka. Nilai hidup ini membina kejayaan dan kita perlu ada nilai hidup tinggi.
“Kita lebih suka tunggu wang jatuh bergolek berbanding berusaha. Manusia jika tidak berusaha, kudrat mereka akan merosot.
“Sama seperti otot kita, jika kita tidak berjalan, otot kita akan lemah,” katanya memberi analogi dalam mengalakkan usaha keras untuk mendapatkan kesenangan.
Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 mengumpulkan pakar pelbagai bidang yang membincangkan cadangan serta idea untuk merangka dasar agenda bumiputera dalam era Malaysia Baharu.
Resolusi kemudian akan diserahkan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
#AP
#Azmin Ali
#Bumiputera
#Dasar Ekonomi Baru
#Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018
#kontrak
#Mahathir Mohamad