Agenda AWANI Plus: 'Rakaman ini bukan gosip siapa tidur dengan siapa?' - Syahredzan

Astro Awani
Januari 16, 2020 18:00 MYT
Agenda AWANI Plus bersiaran pada Rabu minggu ini. - Foto Astro AWANI
PANAS!
Medan debat dalam Agenda AWANI Plus menjadi hangat… bukan sebab apa, topik pilihan sememangnya menjadi topik bersembang dalam kalangan masyarakat selama beberapa hari.
Perdebatan di antara peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Syahredzan Johan berhubung pendedahan tergempar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung audio klip rakaman yang didakwa mirip suara bekas pemimpin tertinggi negara bertukar menjadi medan debat panas dalam program Agenda AWANI Plus pada Rabu (15 Januari) lalu.
Selama 60 minit, Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron yang mengendalikan perdebatan malam Rabu lalu, turut disertai Presiden Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Datuk Seri Akhbar Satar sebagai 'juri'.
Sepanjang perdebatan, Kamarul dan Akhbar berjaya mengawal keadaan dan tidak berganjak mempertahankan hujah masing-masing.
Datuk Seri Akhbar antara lain menjelaskan, Pesuruhjaya Tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya boleh bertindak sedemikian atas kapasitinya sebagai Pesuruhjaya.
‘Maknanya SPRM boleh dedahlah’ – Akhbar
Ini reaksi Akhbar Satar apabila Jahaberdeen mengutarakan kebimbangan beliau bahawa pendedahan itu mampu memberi implikasi hilangnya kepercayaan rakyat terhadap agensi kerajaan mahupun pihak berkuasa.
‘SPRM ni tak percaya ke kepada polis?’ - Jahaberdeen
Pengasas Pergerakan RAPERA berkata oleh kerana klip audio itu didakwa melibatkan pemimpin kerajaan yang tidak lagi memegang tanggungjawab mentadbir negara, sekali gus pendedahan tersebut tidak wajar dilakukan kerana tidak lagi membabitkan kepentingan awam.
‘Najib bukan lagi PM’ – Jahaberdeen
Menurut Latheefa Koya dalam sidang media selepas pendedahan dilakukan, pihaknya berpendapat ia sepatutnya dilakukan atas kepentingan awam.
Syahredzan menyokong tindakan SPRM dengan menegaskan rakyat sepatutnya didedahkan kepada segala kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran negara, tidak kiralah melibatkan pemimpin kerajaan dahulu atau sekarang.
‘Rakaman ini bukan gosip siapa tidur dengan siapa’ – Syahredzan
Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut menegaskan pendedahan itu jelas menunjukkan kredibiliti pihak yang diletakkan kepercayaan oleh rakyat telah tercalar pada ketika itu selain merasakan rakyat mempunyai hak untuk tahu.
‘Ada ‘smoking gun’ …? – Syahredzan
Persoalannya, adakah tindakan SPRM wajar atau tidak? Tidak adil untuk sesiapa sekali pun menunding jari dan mempersoal kredibiliti mana-mana pihak yang terbabit.
Perdebatan ini tidak akan terhenti di medan Agenda AWANI Plus dan masih hangat diperkatakan sehingga saat ini.
Di benak fikiran, anda mungkin akan tertanya-tanya sama ada anda di pihak ‘itu’ atau ‘ini’. Biarlah persoalan ini terjawab melalui sistem perundangan yang adil dan saksama.

* Agenda AWANI Plus merupakan program terbaharu terbitan Astro AWANI (Saluran 501) yang menampilkan pakar-pakar tempatan untuk mengupas topik bualan hangat untuk minggu itu. Naratif Baharu yang menjadi Bualan Negara.

#agenda #Agenda AWANI Plus #Akhbar Satar #Astro Awani #Jahaberdeen Mohamed Yunoos #Kamarul Bahrin Haron #Latheefa Koya #Malaysia Baharu #Najib Razak #Rosmah Mansor #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #Syahredzan Johan
;