Agenda 2030: Malaysia kemuka tiga cadangan pertingkat kerjasama antarabangsa
Bernama
Jun 24, 2022 23:55 MYT
Jun 24, 2022 23:55 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan Arkitektur Pembangunan Antarabangsa diperkukuh bagi membangunkan semula ekonomi supaya menjadi lebih baik sekali gus membantu mencapai Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan (Agenda 2030) yang diperaku pada 2015.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan negara pada Dialog Peringkat Tertinggi Mengenai Pembangunan Global memaklumkan terdapat banyak negara membangun memiliki program dan agensi yang berpengalaman luas dalam bidang pembangunan.
"Sebagai contoh, China mempunyai Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China (CIDCA) manakala Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang ditubuhkan lebih empat dekad lalu telah memberi manfaat kepada lebih 34,000 peserta dari 140 negara.
"Program dan agensi ini perlu memupuk kerjasama untuk membantu negara membangun yang lain berdasarkan konsep Kerjasama Trilateral," katanya dalam dialog itu yang diadakan secara maya malam ini.
Presiden China Xi Jinping mempengerusikan dialog itu yang turut dihadiri empat lagi negara anggota BRICS iaitu Presiden Rusia Vladimir Putin, Perdana Menteri India Narendra Modi, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa dan Timbalan Presiden Brazil Hamilton Mourao.
Turut serta Presiden Algeria Abdelmajib Tebbaoune, Presiden Argentina Alberto Fernandez, Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sis, Presiden Indonesia Joko Widodo, Presiden Iran Ebrahim Rais, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, Presiden Senegal Macky Sall, Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed Ali, Perdana Menteri Fiji Josaia Voreqe Bainimarama dan Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-Cha.
Selain itu, Perdana Menteri mencadangkan agar masyarakat antarabangsa mengukuhkan sistem pelbagai hala termasuk dana yang disalurkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) serta Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bagi mencapai matlamat pembangunan mampan.
Beliau berkata tumpuan badan terbabit mestilah diberikan mengikut keperluan negara membangun dan bukannya agenda negara penyumbang.
Menerusi cadangan ketiga pada dialog itu, Ismail Sabri menyarankan agar negara maju memenuhi komitmen dalam menangani krisis alam sekitar dan perubahan iklim.
"Usaha perlu dipergiat dalam menghadapi cabaran yang saling berkait melalui peningkatan dan pembiayaan inovatif, perkongsian teknologi dan pembangunan keupayaan yang menyokong peralihan ke arah ekonomi global yang lebih hijau," katanya.
Ismail Sabri berkata sebagai contoh, negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), yang merupakan antara negara terkaya di dunia, memperuntuk hanya 0.33 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar mereka sebagai Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA) berdasarkan laporan pada 12 April 2021.
Perdana Menteri berkata oleh kerana negara maju belum mencapai komitmen US$100 bilion setahun bagi tujuan pembiayaan iklim maka Malaysia menyeru agar komitmen yang sudah dipersetujui sebelum ini segera dicapai memandangkan dunia sudah jauh berbeza berbanding semasa Agenda 2030 diperaku tujuh tahun lepas.
Menerusi dialog tiga jam yang bermula pada 7.45 malam itu, beliau turut menegaskan bahawa Malaysia kekal komited dalam usaha memacu kemajuan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sepertimana termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Membuktikan lagi komitmen Malaysia, Ismail Sabri berkata Pelan Hala Tuju Matlamat Pembangunan Mampan Kebangsaan (2021-2025) Fasa Kedua sedang dirangka bagi mengenal pasti bidang keutamaan berkaitan selain melaksanakan SDG di peringkat tempatan menerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia.
"Ini adalah model inovatif yang mengumpulkan Ahli Parlimen dan pihak berkepentingan tempatan untuk bersama-sama mencari penyelesaian kepada cabaran di peringkat akar umbi," katanya.
Beliau juga berkata Malaysia berhasrat mempromosi lebih banyak pelaburan berasaskan pembangunan mampan dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan hijau dan penciptaan 12 pasaran baharu.
"Namun begitu, Malaysia tidak boleh melakukan usaha ini secara bersendirian. Negara yang terlibat dalam sidang kemuncak ini mempunyai kelebihan tersendiri. Oleh itu, penting sekali untuk kita bekerjasama dalam usaha mencapai Agenda 2030," katanya sambil menambah sebagai Rakan Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Malaysia menyatakan sokongan berterusan terhadap usaha memacu pembangunan global ke arah dunia yang lebih makmur, inklusif dan mampan.
-- BERNAMA
#agenda 2030
#Perdana Menteri
#ismail sabri yaakob
#Malaysia
#Arkitektur Pembangunan Antarabangsa
#kerjasama antarabangsa