Agen palsu rumah PR1MA akhirnya ditangkap
Noraniza Kamsani
April 3, 2018 11:39 MYT
April 3, 2018 11:39 MYT
Seorang peniaga yang licik menipu 71 individu dengan menawarkan pembelian rumah menerusi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang yang tidak wujud berjaya ditahan polis dalam satu operasi malam tadi.
Suspek wanita berusia 31 tahun dan sudah berkahwin itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Taman Tas Ria, di sini kira-kira jam 11 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek memperdaya mangsa sejak Jun tahun lalu sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM84,000.
Menurut beliau, kejadian bermula apabila salah seorang mangsa adalah wanita berusia 41 tahun berkenalan dengan suspek yang dikenali sebagai Jenny.
"Ketika itu suspek menawarkan kepada mangsa untuk menguruskan proses memiliki rumah PR1MA Pahang dengan wang pendahuluan RM1,200 tanpa memerlukan sebarang dokumen.
"Mangsa kemudian menyerahkan wang berkenaan bagaimanapun dikehendaki mencari seramai 70 orang lain yang berminat untuk membeli rumah PR1MA berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata, mangsa berkenaan kemudian mencari 70 orang lain berkenaan sebelum menyerahkan kesemua wang yang dikutip kepada Jenny.
"Anggaran keseluruhan wang pendahuluan yang dikutip kira-kira RM84,000. Selepas mangsa menyerahkan wang berkenaan pada Januari lalu, mangsa terus tidak dapat menghubungi Jenny.
"Mangsa yang tidak berpuas hati dengan kejadian berkenaan dan berasa ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sebelum polis berjaya menahan suspek," katanya.
Katanya lagi, modus operandi suspek adalah memperdayakan mangsa dalam urusan pemilikan rumah PR1MA sehingga mendorong mereka menyerahkan wang.
Suspek kini ditahan di IPD Kuantan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
#jenayah
#Kuantan
#mangsa
#operasi
#Pahang
#peniaga
#penjara
#polis
#PR1MA
#rakyat
#rumah
#siasatan
#suspek
#wanita