AGC tolak representasi Muhammad Yasin
Astro Awani
Januari 11, 2023 13:00 MYT
Januari 11, 2023 13:00 MYT
PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman untuk mengkaji tiga pertuduhan dadah yang dihadapi.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah semasa sebutan kes itu di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, di sini pada Rabu.
Representasi itu difailkan pada 23 September lalu dan keputusan sepatutnya diputuskan pada 15 Disember lalu.
Namun pihak pendakwaan sebelum ini memohon ia ditangguhkan kerana AGC masih memerlukan masa.
Semasa prosiding, Mohd Asnawi memaklumkan berkata, surat rasmi berhubung perkara itu belum sempat dikeluarkan dan tarikh perbicaraan diteruskan seperti ditetapkan.
Sementara itu, peguam bela Muhammad Yasin, Ariff Azami Hussein berkata, pihaknya akan mengemukakan representasi kedua selewat-lewatnya dua minggu lagi.
"Walaupun belum menerima makluman secara bertulis atau emel, kami telah mendapat arahan terkini daripada anak guam untuk mengemukakan representasi kedua,” kata peguam itu.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan kes Muhammad Yasin selama 15 hari bermula 6 Mac depan.
Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada pukul 11.05 malam, 24 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, jam 5.30 petang, pada 24 Mac lalu.
Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dipenjara seumur hidup dan sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.