AGC tidak rayu keputusan Mahkamah Tinggi serah semula barangan mewah Najib, Rosmah

Bernama
November 30, 2022 19:52 MYT
Pada 14 Nov, Hakim Muhammad Jamil memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kesemua barangan yang disita oleh polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018 adalah hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.- Fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengesahkan ia tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk memulangkan barang kemas, jam tangan mewah dan beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun ketika dihubungi Bernama berkata AGC tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin pada 14 Nov 2022.
"Ya, AGC tidak merayu terhadap keputusan hakim kerana kami bersetuju dengan keputusan Yang Arif," kata Idrus menerusi mesej WhatsApp hari ini.
Pada 14 Nov, Hakim Muhammad Jamil memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kesemua barangan yang disita oleh polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018 adalah hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim itu turut menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan difailkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Najib dan Rosmah merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu. Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.
Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan tersebut dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 yang didakwa milik UMNO dan Najib. Bagaimanapun kerajaan gagal melucut hak wang itu.
Barangan tersebut didakwa hasil aktiviti haram yang dikaitkan dengan skandal dana 1MDB, disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Barangan kemas dan beg tangan didakwa milik Rosmah manakala jam tangan milik Najib.
-- BERNAMA
#Najib Razak #Rosmah Mansor #Jabatan Peguam Negara #barangan mewah
;