AGC teliti cadangan pembatalan kontrak sewaan Black Hawk

Bernama
Ogos 4, 2024 09:30 MYT
Mohamed Khaled berkata pihaknya akan membincangkan di peringkat kementerian berhubung tindakan selanjutnya. - Gambar/ Bernama
JELEBU: Pejabat Peguam Negara (AGC) telah memberikan maklum balas kepada Kementerian Pertahanan berkaitan cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk Tentera Darat Malaysia (TDM).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya akan membincangkan di peringkat kementerian berhubung tindakan selanjutnya.
"AGC beri semua kemungkinan, kalau dibatalkan macam mana, kalau tidak dibatalkan apa perlu kita lakukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jelebu di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias merangkap Ketua UMNO Bahagian Jelebu.
Mohamed Khaled sebelum ini dilaporkan berkata kementeriannya sedang mendapatkan maklum balas daripada AGC berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk TDM.
Media turut melaporkan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata TDM mengusulkan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk TDM kepada Kementerian Pertahanan, susulan kelewatan penghantaran pertama helikopter berkenaan.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan mempunyai perancangan berkenaan pasukan tentera pengaman di Lubnan sekiranya konflik di negara itu meruncing.
"Kita ada perancangan sekiranya konflik peperangan merebak di negara itu iaitu termasuk membawa pulang anggota kita, bagaimanapun ia memerlukan persetujuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya menambah lebih 800 pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM yang membentuk Batalion Malbatt 850-11 melaksanakan misi pengaman dan kemanusiaan di Lubnan.
-- BERNAMA
#Mohamed Khaled Nordin #Black hawk #Peguam Negara #kontrak sewaan #tentera darat