AGC kaji bangunkan Unit Bahagian Rayuan dan Perbicaraan bagi Sabah, Sarawak

Bernama
Januari 10, 2025 22:15 MYT
Mohd Dusuki berkata penubuhan unit ini adalah satu daripada beberapa inisiatif yang digariskan untuk tahun 2025 bagi membangunkan landskap perundangan dan meningkatkan perkhidmatannya. - Gambar Bernama
KUCHING: Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang mengkaji keperluan untuk menubuhkan Unit Bahagian Rayuan dan Perbicaraan bagi Sabah dan Sarawak tahun ini, khusus untuk rayuan kes-kes jenayah dengan mengambil kira semua faktor dan melibatkan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang mahir dan berpengalaman.
Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata penubuhan unit ini adalah satu daripada beberapa inisiatif yang digariskan untuk tahun 2025 bagi membangunkan landskap perundangan dan meningkatkan perkhidmatannya.
"Kita juga berharap agar pada tahun-tahun akan datang, pendakwa raya akan terus terbabit dengan pembelajaran sepanjang hayat, dengan menghadiri bengkel, di samping meneroka pengalaman baharu dan teknologi terkini," katanya dalam ucapan pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2025 di Hikmah Exchange Event Centre, di sini hari ini.
Beliau turut mengumumkan pelaksanaan penuh sistem Modul Daftar Kertas Siasatan (e-Daftar) di Sabah dan Sarawak bagi memastikan pendaftaran kertas siasatan yang dirujuk oleh semua agensi penguat kuasa kepada AGC berjalan dengan lancar.
Sistem e-Daftar membolehkan agensi penguat kuasa mendaftar kertas siasatan jenayah mereka secara dalam talian, dan sebanyak 455,170 kertas siasatan telah direkodkan dan kini digunakan oleh 10 negeri, 161 agensi dan 391 DPP, setakat awal Disember lepas.
"Selain menerapkan konsep mesra alam kerana menampilkan pendekatan tanpa penggunaan banyak kertas, sistem pengurusan kes digital membolehkan pemantauan kes yang efisien, dari peringkat siasatan awal hingga keputusan akhir.
"Sistem ini dapat mengurangkan masa dan sumber yang diperlukan untuk menguruskan jumlah kes jenayah yang banyak, membolehkan pendakwa raya memberi tumpuan kepada aspek substantif," kata Mohd Dusuki.
Sementara itu beliau turut berkongsi rancangan untuk memindah dan menaik taraf tujuh pejabat pendakwa daerah termasuk di Lahad Datu, Sabah sebagai inisiatif untuk menyediakan persekitaran kerja yang selesa bagi pegawai perundangan di seluruh negeri.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
-- BERNAMA
#Jabatan Peguam Negara #Ketua Hakim Negara #pendakwa raya #pemantauan kes
;