AGC diberi kebenaran bertemu wakil Jho Low: Peguam Negara perlu beri penjelasan - Guan Eng

Fareez Azman
Julai 17, 2022 15:09 MYT
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menuntut penjelasan daripada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung pertemuan diadakan wakil Jabatan Peguam Negara dan wakil Jho Low. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun perlu menjelaskan mengapa Jabatan Peguam Negara (AGC) diberi kebenaran bersama agensi kerajaan untuk bertemu wakil individu dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low.
Demikian soal Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung pertemuan yang dijalankan wakil AGC seperti didedahkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Sabtu.
Ujarnya dalam satu kenyataan media pada Ahad, DAP menentang sebarang perbincangan diadakan dengan Jho Low meskipun melibatkan pembayaran semula sebagai pertukaran melepaskannya daripada sebarang jenayah.
"Malaysia selama ini gagal untuk menjejaki ahli perniagaan yang melarikan diri, Low Taek Jho yang juga merupakan dalang utama dalam skandal RM52 bilion 1MDB.
"Jho Low termasuk dalam senarai notis merah orang yang dihendaki Interpol dan turut didakwa tanpa kehadiran (charged in absentia) di mahkamah Amerika Syarikat dan Malaysia.
"Anehnya, Jho Low dengan mudah dapat menghubungi terus Peguam Negara Idrus Harun malah wakil Jho Low dapat mengadakan pertemuan bersama Jabatan Peguam Negara," ujar Guan Eng.
Dakwa Ahli Parlimen Bagan itu, tindakan membenarkan wakil AGC bertemu wakil Jho Low disifatkannya salah.
Justeru, beliau menuntut Idrus menjelaskan berhubung pertemuan itu seperti yang didedahkan Mohamed Apandi Ali yang menjadi fasilitator dalam rundingan berkenaan.
"Jelas sekali Jho Low terus mempunyai pengaruh dalam jabatan kerajaan sehingga dia dapat menghubungi mantan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali untuk bertindak dan mengatur mesyuarat bersama AGC dan agensi-agensi kerajaan yang tidak diketahui bagi pihak Jho Low.
"Adakah Apandi Ali akan menjelaskan hubungan beliau dengan Jho Low, dan adakah terdapat timbal balas dari hubungan tersebut?
"Persoalan besar ini wajib dijawab memandangkan Mohamed Apandi juga telah membersihkan nama mantan Perdana Menteri Najib Razak dari sebarang salah laku dalam 1MDB pada 2016 ketika bertugas sebagai Peguam Negara di bawah pentadbiran Najib.
"Secara tidak langsung, tindakan Mohamed Apandi membersihkan nama Najib dari kesalahan juga akan menguntungkan Jho Low ketika itu untuk bertangungjawab terhadap skandal kewangan terbesar di dunia yang melibatkan sejumlah RM52 bilion," kata Guan Eng lagi.
BACA: Jabatan Peguam Negara sahkan tolak tawaran penyelesaian Jho Low
BACA: 1MDB: Apandi hanya sebagai fasilitator dalam rundingan bersama Jho Low
Dalam pada itu, bekas Menteri Kewangan itu turut menuntut penjelasan daripada Idrus berhubung kebenaran pertemuan dilakukan dengan wakil Jho Low.
"Tindakan Idris membenarkan AGC untuk bertemu wakil Jho Low adalah salah. Idrus harus menjelaskan mengapa AGC yang sepatutnya memburu Jho Low, sanggup berjumpa dengan wakil Jho Low itu.
"Bukankah Idrus sedang menghantar mesej salah - bahawa penguat kuasa undang-undang tertinggi negara kini sedia berbincang dengan penjenayah yang dikehendaki dan bukannya menegakkan undang-undang tanpa takut dan pilih kasih?" tegasnya lagi.
Mengulas lanjut, kata Guan Eng, sebarang perbincangan dijalankan dengan individu dikehendaki itu disifatkan sebagai tidak bermoral dan beretika.
"DAP tegas menentang sebarang perbincangan dengan Jho Low apatah lagi melibatkan pembayaran semula sama ada RM1.5 bilion ataupun apa-apa jumlah sekalipun, sebagai pertukaran untuk melepaskan dia dari sebarang jenayah yang telah dilakukan.
"Ini bukan sahaja tidak bermoral dan tidak beretika malah juga salah di sisi undang-undang. Hakikatnya, semua aset Jho Low yang terlibat dalam kes ini, bernilai berbilion-bilion ringgit wajar disita selepas pendakwaan dan dijatuhkan hukuman," katanya lagi.
Semalam, Mohamed Apandi mendedahkan peranannya hanya sebagai fasililator dalam rundingan membabitkan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, mengenai tawaran menyelesaikan kes 1MDB.
Jelasnya, pihaknya didekati pihak Kobre & Kim yang berpangkalan di Washington DC, Amerika Syarikat untuk berjumpa dengan pejabat Peguam Negara pada penghujung Mei 2022.
#Jho Low #1MDB #Lim Guan Eng #Peguam Negara #AGC
;