AGC bantah semakan kehakiman Aman Palestin terhadap tindakan SPRM

Zikri Halim
Februari 6, 2024 11:40 MYT
Mahkamah Tinggi menetapkan telah 27 Februari ini untuk mendengar permohonan kebenaran Aman Palestin.
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membantah permohonan kebenaran Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung akaun bank yang dibekukan.
Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud mengesahkan perkara itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh pada Selasa.
Dalam pada itu Peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali turut mengesahkan perkara itu ketika bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau menegaskan perkara itu harus didengar dengan segera kerana terdapat keperluan mendesak untuk menghantar bantuan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik di Semenanjung Gaza.
"Kita telah failkan perakuan segera, kita peru segerakan pendengaran ini seperti seluruh dunia tahu bantuan amat diperlukan.
"Jadi disebabkan tidak ada sebarang jawapan, hari ini kita hadir mahkamah pendengaran jam 9 pagi, kami dapat pengesahan, bantahan akan difailkan Jabatan Peguam Negara," tambahnya lagi.
Rafique dalam pada itu turut menyatakan dengan jelas kepada pihak SPRM, bahawa anak guamnya, Aman Palestin sememangnya sudah memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat SPRM sejak Oktober tahun lalu.
"Namun Aman Palestin sememangnya memerlukan dana mereka dikeluarkan segera.
"Ini kerana terdapat badan NGO besar di Turki, Syria, Yaman dan Lubnan yang sudah bersiap sedia untuk menerima dana tersebut," tambahnya lagi.
Mahkamah Tinggi menetapkan telah 27 Februari ini untuk mendengar permohonan kebenaran Aman Palestin.
Badan bukan kerajaan itu telah memfailkan semakan kehakiman di mahkamah tinggi 31 Januari lalu, untuk memohon supaya 11 akaun bank miliknya berjumlah RM11.03 juta dinyahbekukan dengan serta-merta.
Permohonan difailkan itu bertujuan bagi perbelanjaan harian, penggajian pekerja, pentadbiran, operasi dan misi-misi bantuan Aman Palestin bagi tempoh tiga bulan ke hadapan.
Selain itu, Aman Palestin antara lain juga memohon satu deklarasi bahawa pihaknya berhak untuk terus mengumpul dana daripada orang awam serta menyalurkannya secara terus kepada mangsa perang di Gaza yang sedang dizalimi rejim Israel.
Selain SPRM antara tujuh responden yang dinamakan dalam saman itu ialah Ketua SPRM Tan Sri Azam Baki, Pengarah Kanan Penyiasatan Datuk Seri Hishamuddin Hashim, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Datuk Zamri Zainul Abidin, dan kerajaan.
#Azam Baki #Palestin #Peguam Negara #SPRM
;